
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan diingatkan supaya berlaku adil dalam menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang demi kesejahteraan rakyat.
Mohd Fairus Mohd Isa (PN-Serting) berkata, penafian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang adalah satu bentuk diskriminasi terhadap pengundi di kawasan terbabit yang turut membayar cukai.
Menurutnya, prinsip Islam dan demokrasi menuntut keadilan tanpa mengira fahaman politik, malah dana yang disalurkan adalah wang rakyat, bukannya milik parti pemerintah.
“Saban tahun bila belanjawan dibentangkan, kami ADUN pembangkang terasa ke mana perginya peruntukan untuk kami. Rakan-rakan di blok kerajaan dapat peruntukan bulanan untuk urus hal rakyat dan Pusat Khidmat.
“Dah lah tandatangan (sokongan) pun tak diterima di peringkat pentadbiran, peruntukan pun tak dapat. Jangan jadikan kebencian politik mendorong kepada ketidakadilan seperti yang dilarang dalam Surah Al-Maidah ayat 8,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau turut menyarankan kerajaan negeri mencontohi pentadbiran negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang yang lebih matang dalam memberikan peruntukan saksama kepada pembangkang.
Menyentuh isu infrastruktur, Mohd Fairus membangkitkan keluhan peneroka Felda mengenai masalah bekalan air yang masih di takuk lama walaupun peruntukan RM750,000 diumumkan untuk Felda.
Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan menggantikan paip lama yang kerap pecah bagi menyelesaikan masalah tersebut secara tuntas.
“Selain itu, saya juga ingin menyentuh pencahayaan jalan raya. Masuk sahaja sempadan Negeri Sembilan dari Melaka, jalan terus gelap gelita.
“Di Melaka terang-benderang, tetapi bila masuk Tampin, Palong dan Keratong, ‘golap yo’. Banyak kemalangan maut berlaku. Harap kerajaan negeri ambil berat, biar orang luar rasa selamat masuk ke Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Belanjawan Defisit 2026, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri membuat simpanan rizab ketika ekonomi baik sebagaimana yang pernah dilakukan oleh mantan Menteri, Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor.
“Ambil iktibar daripada pengurusan ekonomi Nabi Yusuf A.S. sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2025











