
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis berjaya membuktikan komitmen dan usaha gigih memajukan ekonomi Perlis terutama kejayaan mencatat peningkatan ketara Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), selain penurunan drastik defisit negeri dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) berkata, pertumbuhan ekonomi Perlis menunjukkan peningkatan konsisten sejak 2021 dengan KDNK meningkat kepada RM6.5 bilion pada tahun 2024, sekali gus merekodkan pertumbuhan ekonomi 3.3 peratus, sesuatu yang sangat positif bagi negeri kecil seperti Perlis.
“Prestasi ini bukti jelas kecekapan pentadbiran kerajaan negeri Perlis di bawah Perikatan Nasional yang komited memastikan Perlis bergerak sebagai sebuah negeri berdaya saing, mapan dan inklusif,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan kejayaan Kerajaan Negeri mengurus fiskal secara bertanggungjawab apabila defisit berjaya dikurangkan secara konsisten sejak 2021 sehingga mencapai RM26.83 juta pada tahun 2026 iaitu defisit terkecil dalam sejarah belanjawan lima tahun terkebelakang.
“Ini bukti kejayaan pentadbiran kerajaan negeri mengawal perbelanjaan, meningkatkan hasil dan memastikan sumber negeri diguna dengan cekap serta memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Ketua Pemuda PAS Negeri itu optimis menyeru agar usaha ini dapat dipertingkatkan dan Belanjawan 2027 bakal mencipta sejarah baharu dengan rekod ‘surplus’.
“Marilah kita berusaha supaya belanjawan tahun hadapan mencatat rekod ‘surplus’ buat kali pertama,” serunya ketika membahaskan Belanjawan 2026 Negeri Perlis di Dewan Undangan Negeri (DUN), Kompleks Seri Putra, hari ini.
Dalam pada itu, Haziq juga memberi fokus khusus kepada inisiatif pemeliharaan alam sekitar yang menurutnya menjadi nadi masa depan Perlis.
Beliau menyatakan bahawa walaupun Perlis negeri kecil, namun dari sudut biodiversiti, warisan geologi, gua, bukit batu kapur, flora dan herba unik, Perlis adalah antara negeri paling kaya di Malaysia.
Beliau menyokong penuh komitmen kerajaan menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai salah satu teras Belanjawan 2026.
Haziq turut menghuraikan perkembangan memberangsangkan dalam sektor ekopelancongan apabila jumlah pelancong menunjukkan peningkatan ketara dari tahun ke tahun.
Pada tahun 2021 katanya, Perlis menerima 210,000 pelancong dengan hasil sekitar RM312,000 namun angka tersebut melonjak kepada 651,000 pelancong pada tahun 2024, sekali gus meningkatkan hasil kepada RM1.3 juta.
Perkembangan ini jelasnya, mencerminkan potensi besar ekopelancongan sebagai pemangkin ekonomi negeri dengan jumlah peningkatan lebih 300 peratus.
Beliau menyambut baik peruntukan untuk Rimba Herba, Gua Kelam dan mencadangkan agar kerajaan memasukkan pembangunan Denai Warisan sebagai produk ekopelancongan baharu dengan standard yang tidak merosakkan identiti alam sekitar.
Haziq turut mengingatkan supaya kes Gua Cenderawasih yang pernah tular tidak berulang.
Beliau menyentuh keadaan Gua Kelam yang mengalami kerosakan beratus ribu ringgit akibat banjir, namun yakin kawasan itu boleh dibangunkan sebagai tarikan bertaraf dunia.
“Kita boleh jadikan Gua Kelam sebagai ‘Avatar Forest’ seperti ‘Avatar Secret Garden’ di Pulau Pinang dengan pencahayaan menarik bertaraf antarabangsa,” katanya.
Haziq turut menyokong penuh inisiatif pemerkasaan jati Perlis mempunyai nilai premium dan mencadangkan agar kerajaan menggalakkan pelabur membuka kilang kecil pemprosesan jati, sekali gus merancakkan aktiviti nilai tambah di peringkat tempatan.
“Jati kita sangat hebat kualitinya, pengarah perhutanan selalu tunjuk. Ini aset negeri yang perlu dimanfaatkan,” ujarnya.
Beliau menekankan keperluan melibatkan usahawan tempatan dalam rantaian industri ini supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas.
Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menyediakan kursus pertukangan jati khusus untuk belia, bagi melahirkan tenaga mahir yang mampu menyokong pembangunan industri jati negeri. – HARAKAHDAILY 10/12/2025




















