
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan disaran mengambil langkah drastik memperketatkan keselamatan di sekolah susulan beberapa insiden tragik melibatkan kematian murid akibat buli dan kes mencabul kehormatan yang berlaku baru-baru ini.
Ustaz Mohd Fairus Mohd Isa (PN-Serting) berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak membina harapan, bukannya medan di mana nyawa dan emosi mereka terancam.
Beliau melahirkan rasa dukacita terhadap insiden kematian seorang murid tahun empat di sebuah sekolah kebangsaan pada 1 Oktober lalu yang diklasifikasikan sebagai kes buli di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.
“Begitu juga kes kedua pada 7 Oktober lalu, di mana seorang pelajar dicabul oleh lelaki yang dikatakan teman lelaki kepada pengawal keselamatan bertugas. Mangsa kini trauma dan dirujuk ke rawatan psikiatri.
“Ini ditambah pula dengan insiden kematian murid di Lenggeng akibat kelemahan infrastruktur keselamatan sekolah. Ini semua menuntut tindakan segera,” katanya membahaskan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Susulan itu, Mohd Fairus menggariskan enam langkah segera yang perlu diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kerajaan negeri termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kritikal seperti koridor, kawasan terpencil dan luar tandas.
Beliau turut mendesak agar tapisan keselamatan dan latar belakang pekerja sekolah, khususnya pengawal keselamatan dan kakitangan kontrak diperketatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
“Kita juga mahu bilangan kaunselor terlatih ditambah dan reformasi pendidikan dilaksanakan dengan menekankan aspek akhlak serta pembentukan peribadi, bukan semata-mata akademik.
“Saya berharap inisiatif Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah sebanyak RM1 juta yang diumumkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik peruntukan RM28.81 juta bagi 17 inisiatif pendidikan negeri, namun menegaskan aspek keselamatan fizikal dan mental pelajar tidak boleh dikompromi. – HARAKAHDAILY 10/12/2025











