
KUALA LUMPUR: PAS bukan sahaja dapat membuktikan kemampuannya berkerajaan menerusi pemerintahan di beberapa negeri ketika ini, malah telah membuat persediaan untuk menerajui Kerajaan Persekutuan.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad ketika menghurai perkara itu telah menjelaskan bahawa termasuk dalam kesediaan tersebut adalah menerusi hubungan dan penglibatan golongan profesional dalam pentadbiran.
Jelasnya, kepakaran para profesional mengikut bidang mereka, bersama golongan amilin dan ulama yang dipadu dengan pembentukan ketakwaan diri hasil tarbiyah telah membawa PAS mengharungi perjalanan masa depan.
“Kalau kita lihat selepas Kepimpinan Ulama 1982, ramai golongan profesional media mula bersama PAS. Mereka inilah yang membawa pendekatan yang agak fleksibel dan perancangan strategik, tanpa PAS mengorbankan prinsip,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bagan Serai yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mengulas demikian semasa wawancara dalam siri podcast Dari Jalan Pahang yang diadakan di sini baru-baru ini.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri pernah melontar idea Kerajaan Teknokrat yang menunjukkan pentadbiran negara juga perlu dibarisi kalangan profesional atau berkepakaran dalam sesuatu bidang, bukan hanya ahli politik.
Ustaz Idris berkongsi pengalaman sendiri sebagai Menteri di mana ramai profesional yang sentiasa bersedia memberi khidmat kepadanya di belakang tabir tanpa mahu diketahui atau dikenali dengan beliau merasakan mereka adalah jurulatih dan tutor kepadanya.
“Terutamanya waktu kita dalam kerajaan dahulu nak mengendalikan beberapa agensi di bawah saya melibatkan soal kewangan, ekonomi seperti Tabung Haji. Sedikit sebanyak saya mendapat ‘advice’ daripada accountant, naib presiden.
“Mereka datang ke rumah saya sehingga pukul 2 pagi, 3 pagi untuk ‘briefing’ saya. Mereka beri input, nasihat ‘free of charge’. Mereka ajar, maknanya ‘coach’ saya, bagi tutor untuk mendidik saya tentang apa yang perlu dilakukan,” ceritanya.
Antara mereka itu juga kongsinya, adalah pakar dalam pelaburan perladangan yang telah membantu anak syarikat TH Plantation membuat keuntungan, selain kerana adanya sifat-sifat kejujuran dari takwa diri mereka itu.
Namun tegas Ustaz Idris, kesediaan terpenting untuk menerajui kerajaan adalah dengan menekankan kepentingan istiqamah atau konsistensi prinsip dalam setiap pendekatan politik yang dibawa oleh PAS.
Menurut beliau, istiqamah lebih baik daripada ribuan karamah kerana ia memastikan parti tetap berpegang pada prinsip walaupun menghadapi cabaran dan kekalahan.
“Prinsip tidak boleh diubah. tetap kita pertahankan walaupun kadangkala kita rasa kita hilang. Contohnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 dahulu, kita sanggup tarik ‘handbrake’ dalam Pakatan Rakyat kerana tidak mahu melanggar prinsip.
“Kita kalah (kesan daripada pendirian itu), tapi kita bina semula kekuatan. Namun kita lihat rakyat terutama ‘first time voters’ ni orang yang boleh menilai parti yang ada ideologi dengan tiada ideologi,” katanya.
Menurut Dato’ Ustaz Idris, kekuatan PAS terletak pada kombinasi prinsip yang konsisten, pendekatan profesional, dan integriti pemimpin, yang membolehkan parti terus relevan dan dipercayai rakyat. – HARAKAHDAILY 10/12/2025











