
KUANTAN: Dato’ Andansura Rabu (PN-Beserah) mencadangkan supaya kerajaan mengutamakan naik taraf jalan dari Beserah hingga ke kawasan industri Gebeng kepada empat lorong bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin serius.
Beliau berkata, kawasan Gebeng merupakan gabungan kawasan nelayan, pertanian dan industri berat, menyebabkan perjalanan harian penduduk terjejas apabila lori kargo dan jentera berat bercampur dengan kenderaan awam.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyukarkan perjalanan, malah menimbulkan risiko keselamatan.
“Sudah sampai masanya jalan antara Beserah hingga ke Gebeng dinaik taraf kepada empat lorong kerana kesesakan semakin kronik.
“Tambahan pula, hujung minggu kawasan pantai Beserah menjadi tumpuan pelancong, seterusnya meningkatkan kesukaran dan bahaya di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, hari ini.
Andansura berharap kerajaan menjadikan cadangan itu sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan akan datang, walaupun ia mungkin tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-13 atau tempoh tiga tahun akan datang, kerana ia melibatkan keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.
Dalam masa sama, beliau menyarankan supaya kerajaan merangka satu perancangan membina terminal bersepadu khusus untuk lori dan kenderaan berat di kawasan industri Gebeng.
Katanya, terminal itu boleh menempatkan lori-lori selepas tamat kerja, serta menyediakan kemudahan perniagaan hiliran, tempat rehat dan bengkel untuk penyelenggaraan kenderaan industri.
“Kehadiran lori-lori kargo dan kontena ini juga memberi kesan kepada penduduk setempat kerana ketiadaan tempat untuk diletakkan kenderaan. Mereka akan letak depan rumah, kawasan perumahan, tepi jalan besar, kawasan-kawasan yang berhampiran dengan rumah sewa mereka dan sebagainya dan ini mengganggu keselesaan dan juga keselamatan orang ramai.
“Maka saya ingin mencadangkan supaya dirangka satu perancangan, bina satu terminal, seperti mana terminal bersepadu yang kita ada di Kuantan ni tapi ini untuk lori-lori dan juga kenderaan berat di kawasan industri Gebeng.
“Ini kerana lori-lori ni bila mereka pulang daripada kerja, dia boleh simpan di situ tidak bawa balik ke tempat rumah mereka dan ada satu tempat bersepadu untuk disimpan, diletak dengan selamat dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2025











