
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa kebajikan ratusan pekerja Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan terus dipelihara meskipun proses sitaan tanah di bawah Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) sedang berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan tegas kerajaan negeri tidak sekali-kali bertujuan menekan pekerja, sebaliknya memastikan isu tanah yang berlarutan sekian lama dapat diselesaikan secara teratur.
“Hari ini saya telah mengadakan pertemuan bersama pihak FGV Holdings Berhad dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Malaysia dengan topik khusus berkaitan halatuju serta kebajikan pekerja. Saya memaklumkan sikap dan pendirian kerajaan negeri yang mengutamakan kebajikan pekerja.
“Antaranya kebenaran mendiami kuarters, penggunaan bas sekolah untuk anak-anak, akses kepada surau dalam kawasan perumahan dan penggunaan van syarikat untuk memudahkan penduduk keluar masuk atas urusan yang tidak berkaitan kerja dan untuk urusan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama FGV dan JTK Malaysia bagi membincangkan aspek kebajikan, keselamatan serta hala tuju pekerja susulan perkembangan terbaru isu berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa FGV masih belum mengemukakan hala tuju jelas tentang nasib pekerja selepas tindakan sitaan dilaksanakan.
“Kerajaan negeri hanya mampu membuka ruang dan bersedia untuk menyantuni sebaiknya. Tetapi selagi para pekerja ini memiliki majikan maka kita tak boleh banyak berbicara.
“Pihak JTK sangat memahami kenapa dan mengapa keputusan tegas ini terpaksa dibuat. Perhatian mereka ialah supaya hak-hak dan kebajikan pekerja tidak terabai,” katanya.
Pada 29 November, kerajaan negeri memulakan operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negeri selepas rundingan 40 hari yang dipersetujui bersama dengan FELDA berakhir tanpa sebarang penyelesaian.
Operasi itu melibatkan penyerahan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kepada FELDA dan FGV atas dakwaan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Tindakan itu dibuat serentak di 10 ladang FGV membabitkan kawasan seluas 15,000 hektar merangkumi 127 lot tanah di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.- HARAKAHDAILY 3/12/2025




















