Op pembersihan pasca banjir giat laksana kutipan sisa

- Advertisement -

KANGAR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mempergiat operasi pembersihan pasca banjir di kawasan terjejas dengan meningkatkan kapasiti kutipan sisa dalam skala besar, termasuk tambahan lori kompak, roll-on-roll-off (RORO) serta tenaga kerja pembersihan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil berkata, kutipan sisa kini dilaksanakan secara berfasa bermula di lokasi paling kritikal, dengan pasukan SWCorp turut bekerja lebih masa bagi memastikan proses pemulihan dapat diselesaikan segera.

“Setakat ini, jumlah sisa pascabanjir yang dikumpulkan sangat signifikan, melibatkan ratusan tan sisa pepejal daripada kediaman yang terjejas.

“Angka tepat sedang dikemaskini mengikut zon kerana kerja kutipan masih berjalan. Ia dijangka terus meningkat dalam beberapa hari akan datang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang.

Menurut beliau, berdasarkan tinjauan lapangan didapati banyak barangan rumah mengalami kerosakan serius akibat banjir dan antara yang paling terjejas ialah perabot rumah seperti sofa, almari, tilam dan kabinet dapur rosak teruk setelah terendam air.

“Peralatan elektrik juga tidak dapat diselamatkan, termasuk peti sejuk, mesin basuh, televisyen dan kipas, banyak dokumen peribadi tidak sempat dipindahkan, menyebabkan ia turut musnah atau hilang,” jelasnya.

Selain itu katanya, barangan berasaskan kayu seperti rak, meja dan katil juga mengalami kerosakan kerana menyerap air dengan cepat, manakala permaidani, pakaian dan bahan tekstil lain turut rosak kerana tidak mampu bertahan apabila terendam dalam tempoh yang lama.

“Kategori barangan ini menyumbang kepada jumlah sisa yang tinggi dalam operasi pembersihan pascabanjir kali ini.

“SWCorp menjelaskan bahawa sepanjang tempoh pasca banjir, kapasiti kutipan sisa dipertingkatkan secara berfasa bagi memastikan proses pembersihan dapat berjalan dengan lancar,” ujar Asrul.

Antara langkah yang diambil katanya, termasuk penambahan lori kompak dan lori RORO, selain menambah tenaga kerja pembersihan di kawasan terjejas.

Menurut Ustaz Asrul, operasi kutipan turut dilaksanakan secara berperingkat, bermula di kawasan yang paling kritikal sebelum diperluas ke lokasi lain.

Dalam masa yang sama, pasukan SWCorp bekerja lebih masa untuk memastikan proses kutipan sisa dapat dipercepatkan dan membantu penduduk pulih daripada kesan banjir secepat mungkin.

Tindakan ini dilakukan bagi memastikan semua sisa besar dan berbahaya dapat dikeluarkan secepat mungkin, sekali gus mempercepatkan pemulihan kawasan yang terjejas.

Beliau berkata, anggaran kerugian keseluruhan masih sedang dikenal pasti melalui laporan agensi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pimpinan komuniti.

“Tinjauan awal menunjukkan kerosakan melibatkan nilai barangan asas yang besar bagi setiap isi rumah. Nilai penuh akan diumumkan selepas proses verifikasi selesai,” katanya ketika dihubungi harakah di sini semalam.

Dalam pada itu, SWCorp turut menekankan peranan penduduk dalam membantu melancarkan operasi kutipan pasca banjir.

Penduduk dinasihati supaya mengasingkan sisa besar seperti perabot dan peralatan elektrik, serta meletakkan sisa di lokasi yang mudah dicapai lori bagi memudahkan proses pemindahan.

Mereka juga diingatkan tidak menempatkan sisa berhampiran parit atau laluan air bagi mengelakkan saliran tersumbat dan banjir berulang.

Tindakan ini, menurut SWCorp, amat penting untuk mempercepatkan proses kutipan serta memastikan kawasan perumahan dapat dipulihkan seperti sediakala dalam tempoh yang lebih singkat.

Dengan operasi yang dipertingkatkan dan kerjasama semua pihak, SWCorp yakin proses pembersihan pascabanjir dapat diselesaikan dengan lebih cekap demi memulihkan kehidupan penduduk yang terjejas. – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -