
KANGAR: “Perlis tidak gagal urus banjir,” jelas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli ketika mengulas situasi banjir yang dianggap antara terburuk selepas episod 2010, namun berjaya ditangani dengan penyelarasan rapi semua agensi.
Beliau berkata, walaupun jumlah mangsa mencecah 8,058 orang melibatkan 2,430 keluarga, pengurusan bencana tetap berjalan baik dengan kerjasama Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), agensi kerajaan serta bantuan ratusan sukarelawan.
“Selepas 2010, ini banjir yang agak besar bagi negeri Perlis. Kita alhamdulillah dapat urus dengan agak baiklah,” katanya ketika dihubungi _Harakahdaily_ semalam.
Menurut beliau, sebanyak 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka sejak banjir bermula Ahad lalu, dan sehingga 8.00 malam semalam, 20 PPS telah ditutup, berbaki 4 PPS yang masih beroperasi.
Antara PPS yang masih dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh yang kini menempatkan 154 mangsa berbanding 296 sebelum ini, Dewan 2020 dengan 27 mangsa berbanding 736, SK Tambun Tulang yang masih menempatkan 296 mangsa berbanding 501, serta SK Changkat Jawi dengan 61 mangsa berbanding 283 sebelum ini.
“Secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir mencecah 8,058 orang, namun yang masih berada di PPS kini berbaki 538 mangsa daripada 155 keluarga,” ujar beliau.
Sementara itu, beberapa PPS telah ditutup sepenuhnya setelah semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Antara PPS yang telah menamatkan operasi ialah SK Titi Tinggi, SK Felda Mata Ayer, Dewan Semarak Bakti Felda Mata Ayer, Dewan Warisan, SK Guar Nangka, SK Batu Bertangkup, UiTM Arau, Masjid Nurul Husna Wang Kelian dan SK Bukit Keteri.
Juga tambahnya, Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Perlis (UNIMAPs) Kubang Gajah, Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Dewan Ilmu UNIMAPs Ulu Pauh, SK Panggau, SK Behor Empiang, SK Jalan Raja Syed Alwi, Intitus Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, SK Putra, SK Beseri, SK Dato Wan Ahmad dan SK Sena.
“Penutupan ini menunjukkan keadaan banjir semakin pulih secara berperingkat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Penyelarasan agensi ‘sangat bagus’
Mohd Shukri turut memuji tahap penyelarasan Khidmat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) dan pelbagai agensi yang bekerja tanpa henti dalam keadaan letih serta kurang tidur.
“Kebersamaan dan penyelarasan Khidmat Malaysia dengan agensi kerajaan sangat bagus. Bila JKM nak menguruskan kehadiran NGO, ada pihak marah. Ini tak sepatutnyalah, sebab soalan yang ditanya itu bukan nak menidakkan kehadiran, cuma untuk menyelaraskan kerja supaya tidak bertumpu pada satu tempat saja,” jelas beliau.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut melahirkan simpati terhadap petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
“Saya dimaklumkan ada yang masuk 7.00 pagi, balik 11.00 malam hari-hari. Dengan lif rosak, terpaksa bawa pesakit naik ke tingkat 5 secara manual. Jadi saya rasa dedikasi mereka amat hebatlah.”
NGO dialu-alukan, tapi mesti berdaftar
Menteri Besar menegaskan bahawa semua NGO yang ingin membantu perlu berdaftar dengan pihak berkuasa negeri bagi mengelakkan pembaziran dan menjaga keselamatan makanan.
“Kita tak mahu lambakan makanan di PPS yang boleh sebabkan pembaziran. Kita juga nak tengok dari segi kebersihan makanan, takut nanti keracunan makanan.
“Bukan kita nak nafikan apa NGO bawa, tapi kita nak pastikan ia selamat untuk mangsa banjir. Jangan terasa hati, kita amat berterima kasih,” ujar beliau.
Kini di fasa pemulihan
Banjir di Perlis bermula Ahad minggu lalu dan kini memasuki fasa pemulihan selepas air surut sepenuhnya tiga hari lepas.
Sebanyak 24 PPS dibuka pada awal bencana, melibatkan hampir keseluruhan kawasan dalam negeri, sebelum jumlah itu semakin berkurang seiring penurunan paras air.
Perlis tidak akan melupai bantuan dari semua pihak samada dari NGO atau sukarelawan yang bersama bertungkus-lumus membantu ketika negeri ini dilanda banjir. – HARAKAHDAILY 3/12/2025





















