
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu menjalin kerjasama strategik dengan Malaysia Rail Link (MRL) bagi pemudah cara dalam pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) di sekitar stesen-stesen ECRL di Negeri Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melalui kerjasama itu, rakyat akan menikmati peluang pekerjaan, peluang perniagaan serta akses mobiliti yang lebih baik, selaras dengan pembangunan bandar tersusun dan berimpak tinggi.
“Kerjasama strategik ini bukan sekadar merancang untuk pembangunan fizikal semata-mata, bahkan sedang membina sebuah ekosistem ekonomi baharu yang memberi manfaat terus kepada rakyat melalui pekerjaan, peluang perniagaan dan akses mobiliti yang lebih baik.
“Kita tidak lagi melihat pembangunan secara terpisah-pisah, namun sebagai rangkaian yang saling menguatkan daripada perumahan mampu milik, penyambungan pengangkutan sehingga kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MRL di The Majestic Hotel, di sini hari ini.
Turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang turut memberi sokongan positif terhadap inisiatif pembangunan negeri itu.
Beliau berkata, hampir 600 ekar tanah kerajaan akan dimajukan dengan perancangan strategik, manakala kerja-kerja pembersihan di kawasan utama seperti Cukai, Kemasik dan Dungun telah pun dimulakan tahun ini.
“Itu menunjukkan komitmen, how far we want to go to make sure it will happen. Kerajaan Negeri juga mahu memastikan bahawa pembangunan ini tidak meninggalkan rakyat di belakang. Infrastruktur asas sedang dilengkapkan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pelabuhan Kemaman sedang dinaik taraf dan institusi pendidikan tempatan bersedia melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi peluang pekerjaan baharu.
“Dengan sokongan struktur tadbir urus TOD di setiap daerah yang terlibat, kita akan memastikan pembangunan berjalan dengan tersusun, bertanggungjawab dan berpaksikan kepada kepentingan rakyat.
“Melihat kepada potensi yang ada ini, saya percaya dan yakin ini adalah masa terbaik untuk kita menarik para pelabur. Dan pada hari ini saja kita dah melakukan ‘pitching’ untuk bertemu dengan para pelabur.
“Potential investors who would like to come and invest in various sectors in Terengganu, especially in the area of TOD. Dan ini adalah merupakan sebahagian daripada perjalanan pembangunan negeri yang kita impikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2025




















