Banjir Perlis: Mangsa dipindah, Khidmat Malaysia beroperasi

- Advertisement -

PADANG BESAR: Situasi banjir di negeri ini semakin membimbangkan apabila lebih 850 mangsa daripada 254 keluarga terpaksa dipindahkan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 10 pagi tadi.

- Advertisement -

Setiausaha Politik Menteri Besar, Mustaqim Abdullah berkata, operasi menyelamat kini ditingkatkan dari masa ke masa di seluruh kawasan terjejas, khususnya di bahagian utara negeri.

“Setakat lani Alhamdulillah walaupun agak kalut sikit, operasi menyelamat dan juga bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, petugas keselamatan dan juga pembantu bencana banjir ni tolong banyak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pagi ini pasukan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) sedang berusaha membantu pelajar yang terkandas untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok.

“Pagi ni kita nak pi ambik seorang pelajar yang akan ambik peperiksaan SPM esok ni, dia terkandas tak boleh keluar, kami Khidmat Malaysia ni cuba gerakkan petugas dan jentera untuk pi bantu ambik,” jelasnya di sini hari ini.

Menurut Mustaqim, situasi banjir menunjukkan tanda-tanda memburuk dan masyarakat diseru untuk lebih berwaspada susulan hujan berterusan yang menyebabkan paras air terus meningkat.

Untuk rekod, Khidmat Malaysia telah bergerak sejak awal pagi semalam bagi membantu operasi menyelamat serta penyediaan makanan dan minuman kepada mangsa banjir.

Beberapa ‘Dapur Rakyat’ turut dibuka bagi mengagihkan makanan serta minuman kepada mangsa-mangsa yang terlibat di lokasi-lokasi kritikal.

Setakat pagi ini, lapan PPS telah dibuka melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh, SK Titi Tinggi, SK FELDA Mata Ayer, Dewan Semai Bakti FELDA Mata Ayer, Dewan Warisan, SK Guar Nangka, SK Batu Bertangkup dan terkini Dewan 2020 Kangar.

Kawasan utara negeri, khususnya Padang Besar, kekal paling terjejas apabila paras air terus meningkat akibat hujan tanpa henti.

Di Wang Kelian, laluan utama masih terputus selepas jalan berbukit dari ‘View Point’ ke kawasan kampung mengalami tanah runtuh, menyukarkan pergerakan penduduk serta operasi bantuan.

Beberapa lokasi pelancongan termasuk Gua Kelam turut ditutup sementara bagi mengelakkan risiko keselamatan.

Beberapa sungai utama kini melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Jarum, Sungai Chuchuh (Kampung Chantek), Sungai Buloh (Kampung Batu Bertangkup), Sungai Tambun Tulang, Sungai Arau dan juga Empangan Timah Tasoh.

Dengan hujan yang masih berlarutan, pihak berkuasa kini mempertingkatkan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.

Khidmat Malaysia Negeri Perlis mengalu-alukan sumbangan untuk Dana Operasi Banjir Perlis 2025 melalui akaun Bank Islam Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perlis, nombor akaun 09010010049883.

Juga boleh hubungi 012-4608841 Hakimi Mohamad atau 019-4149400 Mustaqim Abdullah untuk sebarang pertanyaan dan urusan bantuan.

“Sumbangan anda mungkin menjadi penyelamat kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan bersama kita membantu saudara-saudara kita menghadapi ujian ini dengan penuh ketabahan,” ujar Mustaqim. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -