
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan masih meneliti syarat dan garis panduan sebelum memuktamadkan cadangan memberi kebenaran kepada rakyat menjalankan aktiviti mendulang emas.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata cadangan berkenaan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco sebelum diumumkan kepada rakyat.
Beliau menegaskan cadangan tersebut masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.
Menurutnya, kenyataan beliau sebelum ini disalah tafsir seolah-olah kerajaan telah memberi kelulusan tanpa sebarang syarat, sedangkan ia masih dalam proses perbincangan dan semakan.
“Saya sebut kerajaan bercadang, kerajaan akan buat syarat, maknanya kita belum laksana lagi. Kita sedang teliti syarat, garis panduan dan perkara lain sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Exco yang akan datang,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco dwi mingguan, di sini semalam.
Mohamed Fadzli berkata Pejabat Tanah dan Galian sedang menyediakan garis panduan bagi memastikan aktiviti mendulang emas dibuat secara teratur tanpa menjejaskan keselamatan pendulang dan alam sekitar.
“Kita nak mengawal selia dan kita tak mahu ia jadi aktiviti yang tak terkawal. Mendulang kita benarkan, tetapi kalau guna peralatan tertentu yang sudah dikira industri, itu tak dibenarkan,” tegasnya.
Menurut beliau, cadangan itu turut mendapat sambutan baik rakyat dan kerajaan melihat potensi menjadikan aktiviti mendulang emas sebagai produk pelancongan baharu di Kelantan.
Ujarnya, cara mendulang emas juga boleh dijadikan satu industri pelancongan yang mampu menarik minat pengunjung ke negeri ini.
“Kita nak tengok semua aspek itu cuma syarat belum keluar lagi, jadi saya tak mahu ulas lebih, biar SOP diumumkan dahulu,” katanya.
Mohamed Fadzli menjelaskan aspek harga, pembeli dan pemantauan jumlah pendulang akan diselaraskan melalui lesen yang bakal dikeluarkan nanti.
Beliau berkata jika kerajaan negeri mengeluarkan lesen, pihaknya boleh mengawal siapa pembeli, harga, masa operasi dan semua perkara berkaitan aktiviti tersebut.
“Semua itu penting supaya tidak berlaku penyalahgunaan dan untuk menjaga kepentingan pendulang, kerajaan serta alam sekitar,” katanya.
Mengulas kawasan mendulang emas, beliau berkata banyak lokasi telah dikenal pasti, namun tidak semuanya sesuai kerana sesetengah deposit memerlukan perlombongan berskala industri.
Tambahnya, perlombongan emas bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kos tinggi dan setakat ini kerajaan negeri telah mengeluarkan 20 lesen, tetapi hanya empat yang aktif, manakala satu sahaja beroperasi berskala besar.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan syarikat tempatan yang benar-benar berkemampuan dalam industri perlombongan emas.
“Kita terbuka kalau ada syarikat Bumiputera yang betul-betul mampu cuma setakat ini tidak banyak yang benar-benar boleh melaksanakan perlombongan besar,” katanya.
Beliau berkata kerajaan berhati-hati dalam memastikan keselamatan, kebajikan pendulang, kepentingan kerajaan serta kelestarian alam sekitar terpelihara sekiranya aktiviti itu dibenarkan. – HARAKAHDAILY 20/11/2025




















