
KHAMIS lalu, saya dijemput merasmikan Program Pengurusan Jenazah anjuran JAKOA Hulu Langat di Kampung Sungai Lalang, Semenyih.
Alhamdulillah, Allah hadirkan suasana yang sangat menyenangkan dan membuka hati, memberi ruang untuk saya terus menyantuni masyarakat Orang Asli dengan lebih dekat dan bererti.
Saya amat menghargai peranan Ustaz ‘Atho (Sungai Lalang), Ustaz Lukmanul Hakim (Broga) dan Ustaz Zaire, yang sudah sekian lama bersama komuniti ini dan sentiasa menghidupkan program ilmu dan agama di kawasan masing-masing.
Tidak dilupakan Tok Batin Andy dan kerjasama profesional daripada Zila Pegawai JAKOA Daerah Hulu Langat yang memastikan perjalanan program berjalan dengan tertib dan teratur.
Dalam ucapan perasmian, saya kongsikan tazkirah ringkas berasaskan firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr: 18)
Saya tekankan bahawa dalam Islam, kita mempelajari ilmu pengurusan jenazah bukan semata-mata bercakap mengenai mati, tetapi apabila kita mula berfikir mengenai soal mati kita sebenarnya sedang merancang untuk membina sebuah kehidupan yang lebih baik dan bermakna kerana perjalanan kita di dunia yang sementara ini bakal menentukan bagaimana nasib kita yang bersifat selamanya selepas kita mati nanti. Ibarat kata Steven Covey dulu-dulu, ‘Begins with the end in mind’.
Maka, penuhilah masa yang singkat di atas muka bumi ini dengan segala bentuk kebaikan dan pengorbanan sebagai bekalan dan demi ‘masa depan’ yang gemilang.
Sebagai contohnya, dalam kesibukan memburu kehidupan dunia tanpa kaca mata Islam, kita mudah terlupa dengan perbezaan latar belakang dan keturunan lantas bercakaran sesama kita.
Maka saya bawakan tiga asal-usul kita mengikut kaca mata Islam:
1. Kita asal dari tanah.
Asal kita (Nabi Adam AS) adalah dari tanah. Mata kadar kita akan kata tanah itu kotor.
Tapi jangan lupa, Islam mengajar kita tanahlah satu-satu elemen yang istimewa mampu ‘menyucikan sekotor-kotor najis munghalladzah’.
Sudah tentu ada sesuatu dalam diri kita yang asal tanah ini bertanggungjawab untuk sama-sama sucikan muka bumi ini; dari ‘najis’ syirik, dosa dan maksiat!
Kita semua sama, asal dari tanah. Dan mudah-mudahan akhirnya akan kembali ke tanah jua.
2. Kita asal dari air mani.
Ia mengajar kita erti kerendahan hati, mengingatkan kita bahawa kita bermula dari sesuatu yang sangat sederhana sebelum Allah memuliakan kita. Jangan sombong!
Ya, air mani orang tua kita. Dari asal itulah wujud perasaan dan hubungan yang membuat kita sentiasa teringat dan rindu kepada asal usul kita, ayah dan ibu, seronok bila menjejak kaki ke kampung, dan bahagia bila berada di sisi mak ayah kita.
Kita semua sama, kita berasal dari ayah dan ibu kita. Hormatilah dan sayangilah mereka selamanya.
3. Kita asal dari syurga.
Pada masa yang sama, kita semua pasti bersetuju kita semua adalah anak cucu Nabi Adam AS. Jangan lupa, baginda diciptakan di tempat yang paling mulia, syurga!
Bermakna, kita semua punya maruah dan nilai diri yang sangat tinggi. Kita bukan makhluk tak berguna, kita ada potensi besar untuk kembali ke tempat asal yang mulia itu.
Ya, kita semua asal dari syurga. Dan kita semua akan kembali sama-sama ke tempat asal kita, syurga. Amin.
Ringkasnya, bila kita berfikir dan hidup mengikut acuan Islam, kita akan bersatu dalam segenap hal. Kita akan berkasih sayang walaupun berbeza serba serbi dari sudut lahiriahnya.
Saya hanya berharap tazkirah kecil itu menjadi peringatan untuk semua, termasuk diri saya sendiri.
Selepas program, saya dihampiri dua orang wanita separuh umur dari kampung berhampiran. Dengan wajah yang teruja, salah seorang berkata:
“Bagusnya YB… langsung tak cakap politik. Tak kempen apa pun. YB ingatkan kami tentang hidup kami mati. Terasa masuk dalam hati.”
Kawannya menyambung pula, dengan suara yang begitu tulus:
“YB… datanglah mengajar di kampung kami. Kami suka cara YB sampaikan.”
Saya tertawa kecil dan jelaskan bahawa mengajar secara rasmi memerlukan tauliah, dan apabila seseorang terlibat dalam politik, kebiasaannya tauliah itu tidak lagi dibenarkan.
Mereka lalu merungut kesal, “Politik kita ni… sampai bila nak macam ni?”
Saya memahami kekecewaan itu. Untuk menenangkan suasana, saya hidangkan juadah untuk mereka, katanya juadah masyarakat orang asli. Memang sihat. Kali ini disambut pula dengan sorakan gembira bercampur terkejut.
“Alamak, YB pula yang hidangkan makanan untuk kami. Sempoi sungguh lah YB ni.. Sorry ya YB, kita makan tak sediakan sudu garfu.”
“Lah, makan pakai tanganlah sedap”, sambut saya.
Mungkin mereka tidak menyangka saya akan menghidang untuk mereka.
Keterbukaan dan kejujuran begitu sangat saya hargai. Pada saya, ia bukan pujian, ia tanda bahawa mesej yang disampaikan tadi benar-benar menyentuh hati mereka dan membuka ruang perhubungan yang lebih tulus.
Program ini mungkin kecil dari sudut acara, tetapi besar maknanya dari sudut hubungan antara masyarakat Orang Asli dan kita di luar komuniti mereka.
Ia mengeratkan silaturrahim, membuka ruang kepercayaan, dan membuktikan bahawa kebaikan boleh disampaikan dalam suasana yang sederhana dan penuh hormat.
Saya pulang dengan rasa syukur.
Semoga hubungan yang terjalin ini dapat diteruskan melalui program-program ilmu dan kebajikan lain, demi membina masyarakat yang lebih rapat, saling memahami dan saling menghormati.
USTAZ NUSHI MAHFODZ
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih – HARAKAHDAILY 20/11/2025














