
KUALA LUMPUR: Komitmen memperkukuh budaya integriti serta penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah terus diperkasakan apabila Yayasan Imanulfa’izin (YIF) bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (ATTSB) menzahirkan iltizam rasmi mereka menerusi Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelancaran Polisi Integriti, dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majlis yang berlangsung di Auditorium Andalusia, di sini hari ini, menghimpunkan lebih 200 peserta daripada kedua-dua organisasi sebagai tanda sokongan terhadap usaha membentuk sistem tadbir urus yang telus, beramanah dan bebas salah guna kuasa.
Majlis dihadiri Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Haji Md Daud Che Ngah, Pengarah Urusan Andalusia, Haji Ibrahim Mat Sin serta Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Hajah Ida Riswana Idris. Hadir sama mewakili YIF, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Haji Fawwaz Abd Hamid Dahlan.
Turut hadir, wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, KPKPj Samsul Salip sekali gus merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapan aluan oleh Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris menyatakan bahawa industri haji, umrah dan pelancongan memerlukan tahap kepercayaan yang tinggi daripada pelanggan.
“Andalusia telah beroperasi lebih 20 tahun dan Alhamdulillah, kepercayaan lebih 1 juta jemaah terbina kerana kami menjaga amanah.
“Dalam dunia umrah dan haji, sekecil-kecil ketirisan, manipulasi atau penipuan boleh merosakkan ibadat seseorang. Sebab itulah komitmen kami terhadap integriti bukan pilihan, ia adalah tanggungjawab syarie dan profesional, tegasnya.
Justeru, katanya, kerjasama dengan YIF serta komitmen yang ditunjukkan hari ini mengukuhkan lagi usaha Andalusia memastikan setiap operasi syarikat dilaksanakan secara profesional, bebas rasuah dan mematuhi undang-undang.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIF, Fawwaz Abdul Hamid Dahlan pula berkata pemeterai IBR dan pelancaran Polisi Integriti merupakan langkah penting YIF dalam memastikan amanah yang dipikul organisasi sentiasa dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan.

Menurutnya lagi, integriti menjadi asas yang akan membina keyakinan masyarakat terhadap program-program kebajikan yang dilaksanakan oleh YIF.
“Hari ini juga kita akan menyaksikan pelancaran empat dokumen dasar integriti YIF, iaitu Polisi Antirasuah, Polisi Hadiah, Hospitaliti dan Keraian, Polisi Konflik Kepentingan dan Polisi Whistleblowing.
“Pelancaran dasar-dasar ini menjadi asas penting dalam membentuk peraturan dalaman yang mengawal selia keputusan dan tindakan organisasi agar bebas daripada unsur salah guna kuasa, kepentingan peribadi dan sebarang elemen yang boleh menjejaskan ketelusan organisasi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, KPKPj Samsul Salip dalam ucapan perasmiannya berkata, komitmen serta inisiatif yang diambil oleh pengurusan tertinggi Andalusia menjayakan program sebegini amat terpuji serta diharapkan menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain dalam memberikan kesedaran kepada pekerja-pekerja tentang penyalahgunaan kuasa serta etika integriti.
Majlis kemudian disajikan dengan ceramah antirasuah dan integriti yang disampaikan oleh Ps Rezuan Sharif. Dalam ceramahnya, beliau menekankan bahawa isu rasuah merupakan cabaran besar yang memberi kesan langsung kepada pembangunan negara, kepercayaan masyarakat serta integriti operasi organisasi.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab mencegah rasuah bukan hanya terletak kepada institusi, tetapi melibatkan setiap individu yang perlu mengamalkan nilai amanah, telus dan bertanggungjawab dalam setiap tugas.


Acara diteruskan dengan pemeterai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh kedua-dua organisasi. Lafaz ikrar mewakili YIF dipimpin oleh Fawwaz Abdul Hamid Dahlan, manakala lafaz ikrar Andalusia dipimpin Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris serta sesi menandatangani dokumen IBR oleh wakil kedua-dua organisasi disaksikan oleh KPKPj Samsul Salip sebagai tanda komitmen rasmi YIF dan ATTSB dalam menolak rasuah serta memastikan setiap urusan dan proses kerja mematuhi undang-undang serta etika integriti.
Majlis hari ini secara keseluruhannya menjadi bukti bahawa usaha pencegahan rasuah memerlukan kerjasama menyeluruh antara NGO, syarikat swasta dan agensi kerajaan.


Langkah yang diambil YIF dan ATTSB ini bukan sahaja mempertingkat keyakinan masyarakat, malah harus dijadikan contoh kepada organisasi lain dalam memperkukuh budaya integriti demi menjaga kepentingan masyarakat dan negara. – HARAKAHDAILY 18/11/2025




















