4K: Khidmat Kasman kepada masyarakat Kunak

Kasman Karate bersalaman dengan jemaah di Masjid Kunak Jaya usai solat Zohor, kelmarin.
- Advertisement -

LAHAD DATU: Bukan baru hari ini tetapi sejak dahulu lagi calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Kunak, Kasman Karate sudah konsisten memberikan khidmat ‘4K’ untuk masyarakat Kunak.

- Advertisement -

Katanya, beliau memperkenalkan pendekatan ‘4K’ sebagai asas perkhidmatannya kepada masyarakat di daerah ini.

Menurutnya, pendekatan tersebut merangkumi empat fokus utama, iaitu Keilmuan dan Pendidikan, Ekonomi dan Keusahawanan, Keagamaan, serta Kebajikan dan Kemasyarakatan.

Beliau menjelaskan dalam aspek Keilmuan dan pendidikan, usaha untuk meningkatkan akses pembelajaran serta pembangunan modal insan adalah satu keperluan jangka panjang bagi masyarakat.

Tambahanya, dari segi agenda ekonomi dan keusahawanan, beliau akan memberi penekanan terhadap penyediaan peluang keusahawanan dan sokongan kepada usahawan tempatan bagi mengukuhkan ekonomi setempat.

“Pada masa sama, menekankan bahawa keagamaan perlu diberi perhatian bagi memperkukuh nilai dan sahsiah masyarakat, sejajar dengan identiti sosial daerah ini,” katanya.

Sementara itu, dalam aspek kebajikan dan kemasyarakatan, beliau komited untuk menumpukan sokongan sosial serta bantuan kepada golongan memerlukan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Kasman menegaskan beliau komited menjayakan agenda 4K itu demi pembangunan masyarakat di Kunak.

“Semua ini dilakukan bukan kerana ingin jawatan tetapi kerana mahu melihat Kunak maju. Kini mahu teruskan kerja ini dengan mandat daripada rakyat,” ujarnya.

Pada PRN kali ini, beliau berdepan saingan daripada calon GRS, PIS, PPRS, BN dan Warisan.

DUN Kunak mempunyai 24,854 pengundi berdaftar yang akan memilih wakil rakyat pada PRN Sabah ke-17 yang berlangsung 29 November ini. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -