
KOTA KINABALU: “Saya yakin anak Sabah bukan alang-alang, anak Sabah anak yang luar biasa,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Menurutnya, sepanjang 24 tahun berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS), beliau telah mendidik anak bangsa dari seluruh negara iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan menganggap universiti itu sebagai tempat bermula perkhidmatannya sebagai pendidik.
“Saya yakin universiti tempat melahirkan generasi yang baik, dari segi pemikiran, dari segi tindakan.
“Setiap kuliah saya, sebelum saya memulakan kuliah saya akan biasakan bagi nasihat, sebab saya mahu generasi yang lahir, generasi yang menghayati kehidupan yang sebenar, generasi yang berilmu dan juga generasi yang dapat mempraktiskan ilmu mereka,” katanya menerusi satu catatan di laman Facebook.
Beliau yang juga ADUN Lantikan pada penggal lepas turut menyatakan harapan agar anak-anak Sabah terus bangkit membangunkan negeri ini sehingga mampu memperlihatkan kehebatan rakyatnya di persada yang lebih luas.
Katanya, keyakinan terhadap kemampuan anak-anak Sabah tidak pernah luntur kerana mereka merupakan generasi yang luar biasa dan memiliki potensi besar untuk mencorakkan masa depan Negeri Di Bawah Bayu ini.
“Adakah pengikut saya yang pernah belajar atau sudah menjadi alumni UMS? Atau pernah menjadi pelajar saya mungkin,” tanya beliau dalam satu hantaran yang lain.
Menurutnya, semasa di UMS dahulu, sebelum memulakan kuliah dengan para pelajar di UMS,S beliau akan mulakan dengan memberi nasihat.
“Sebab saya mahu generasi yang lahir ini adalah generasi yang benar-benar mahu menghayati kehidupan yang sebenar, berilmu dan sekali gus dapat praktikkan ilmu mereka, insya-Allah,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Negeri kali in, beliau berdepan saingan 11 penjuru di DUN Karambunai yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 18/11/2025




















