Lakukan perubahan: Tolak pemimpin rasuah, jual negeri

Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah

- Advertisement -

SEPANGGAR: Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengajak rakyat Sabah menolak mana-mana pemimpin dikaitkan rasuah, tidak berintegriti atau mengutamakan kepentingan diri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau menegaskan, PRN kali ini merupakan peluang penting lima tahun sekali untuk rakyat memilih barisan kepimpinan yang benar-benar membela rakyat, bukan pemimpin dikaitkan rasuah atau membina empayar sehingga kaya raya.

- Advertisement -

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, rakyat Sabah perlu segera menghentikan budaya memberi peluang kepada pemimpin terpalit skandal.

“Orang yang makan rasuah, ada video rakaman (ambil rasuah) pun tawarkan diri. Mahu diberikan lagi peluang? Tak bolehlah. Hentikan semua. Pemakan rasuah, penjual negeri, jangan kasi peluang.

“Mesti dibuat perubahan kalau mahu keadaan Sabah lebih baik. Mulai PRN ini, rakyat Sabah perlu tolak pemimpin seperti itu. Kita mahu pemimpin yang faham keperluan rakyat dan berani bersuara perintah Sabah,” katanya.

Sanusi berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Karambunai Kasi Jadi di Taman Sepanggar, di sini malam tadi yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta calon DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Beliau turut memberi peringatan mengenai cubaan pihak tertentu yang ‘datang dari sana minta lombong’, sedangkan rakyat Sabah tidak menikmati hasilnya.

“Sabah sangat cantik sesuai untuk pelancongan, kaya dengan galian dan hasil hutan, tapi jangan sampai ditipu dua tiga kali. Kekayaan Sabah milik orang Sabah, jangan biar lagi.

“Kalau diberikan lagi lima tahun, merana lagi lima tahun baru boleh buat perubahan. Jadi perubahan mesti dibuat sekarang. Ia memerlukan pemimpin yang benar-benar memahami keperluan rakyat,” katanya.

Pengerusi PN Kedah itu menegaskan, Kedah dalam memperjuangkan hak negeri dan kepentingan rakyat boleh diikuti di Sabah sekiranya dipimpin kepimpinan yang tegas dan berintegriti.

“Saya di Kedah, hari-hari fikir apa lagi yang boleh dibuat untuk rakyat saya senang. Apa lagi hak negeri yang tidak dipulangkan, apa lagi kepentingan yang mesti diangkat. Apa lagi sumbangan kita kepada negara yang tidak pernah dipedulikan. Kita cakap dan perjuangkan,” jelas beliau.

Sanusi turut menempelak Kerajaan Negeri Sabah yang sebelum ini terbentuk atas nama PERIKATAN NASIONAL tetapi ‘melompat beramai-ramai dan menubuhkan parti lain’.

“Ini orang mesti ditolak, tak ada pendirian. Lebih pentingkan kepentingan diri daripada rakyat,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak lagi terpedaya dengan janji-janji segera yang diuarkan pada PRN ini.

“Jangan pilih orang yang datang buat silap mata lima minit, bagi sikit-sikit, kita terpesona, tetapi lima tahun kita merana,” ujarnya.

Sanusi berharap rakyat Sabah memilih pemimpin yang memikirkan keperluan rakyat, bukan menjaga kepentingan diri atau ahli keluarga sendiri.

“Gunakan kesempatan PRN ini untuk pilih pemimpin. Jangan buat silap sekali lagi, cukuplah apa yang telah terjadi. Pilih pemimpin yang faham kehidupan kita, bukan pilih pemimpin yang nak kita faham kehidupan dia,” katanya.

Sanusi turut menzahirkan harapan agar tahun 2025 membawa perubahan positif dalam pentadbiran Sabah.

“Saya harap Allah SWT beri hidayah dan petunjuk, kurniakan pemimpin yang jauh lebih baik kepada Sabah berbanding sedia ada,” katanya lagi.

Beliau turut meminta rakyat membuat pilihan tepat pada 29 November ini dengan memilih pemimpin yang benar-benar mewakili suara rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah tidak akan buat kesilapan lagi. Kita (PN) akan datang lagi untuk pastikan PN menang dalam PRN Sabah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/2025

- Advertisement -