Kelantan kenal pasti baki tanah terbiar untuk dimajukan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedang mengenal pasti baki tanah terbiar yang berpotensi untuk dimajukan sebagai tapak pertanian bagi memperkukuh sektor makanan negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah itu dilaksanakan bersama Pejabat Pertanian Jajahan seluruh negeri bagi memastikan tanah terbiar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, mengikut rekod geospatial Jabatan Pertanian Negeri Kelantan tahun 2020, jumlah keseluruhan tanah terbiar di negeri ini adalah seluas 4,814.7 hektar.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,332.92 hektar telah dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kelantan bagi tempoh 2006 hingga 2024,” katanya.

Tuan Saripudin menjelaskan demikian semasa menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas tahun 2025, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM12.6 juta di bawah Program Pembangunan Tanah Terbiar bermula tahun 2006 sehingga 2024 melibatkan kawasan seluas 2,332.57 hektar di seluruh negeri.

“Bagi peruntukan persekutuan pula, negeri Kelantan menerima sebanyak RM13.73 juta antara tahun 2008 hingga 2019 bagi pembangunan tanah terbiar seluas 1,000.35 hektar.

“Secara keseluruhan, sebanyak RM26.33 juta telah digunakan bagi membangunkan tanah terbiar meliputi kawasan berjumlah 3,332.92 hektar sejak tahun 2006 hingga 2024,” katanya.

Menurut beliau, tanah-tanah terbiar itu telah dimajukan dengan pelbagai tanaman kekal seperti kelapa, durian dan limau madu serta tanaman singkat masa seperti tembikai, nenas, cili, timun, jagung, melon dan sayur-sayuran.

Tambahnya, kadar peruntukan bagi setiap hektar ialah RM25,000 yang meliputi penyediaan infrastruktur seperti sistem pengairan, pagar, jalan ladang, pusat pengumpulan hasil serta peralatan pertanian moden.

Beliau menambah, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) turut membangunkan Agrovalley Rong Chenok di Pasir Mas dengan keluasan 270 ekar.

Jelasnya, ia melibatkan pelbagai aktiviti pertanian seperti sayuran teknologi hidroponik, cili fertigasi, ternakan ayam automatik, pembenihan ikan air tawar serta ternakan lembu pedaging baka Charolais.

“Bagi tahun 2025 hingga 2026, pelbagai tambahan aktiviti akan dilaksanakan termasuk tanaman Napier, melon madu Kelantan dan pisang,” ujarnya.

Selain itu, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) juga mengusahakan projek tanaman seperti tembikai, keledek, timun, bawang dan harum manis melibatkan lebih 90 ekar tanah serta ternakan ayam penelur di beberapa kawasan termasuk Bachok dan Tanah Merah.

“Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) pula menyumbang kepada sektor pertanian makanan melalui teknologi kultur tisu pisang, pembangunan Green Valley Bio Park di Lojing serta Kelantan Bio Valley seluas 150 ekar yang menggabungkan tanaman nanas, pisang, penternakan ikan dan lebah kelulut,” katanya.

Menurut beliau lagi, Darul Naim Agromanagement Industries Sdn Bhd (DAMAI) turut membangunkan hampir 150 ekar tanah dengan tanaman nanas, durian, kelapa dan ubi keledek di beberapa jajahan.

Dalam masa sama, katanya, kerjasama erat turut dijalinkan bersama agensi teknikal pusat seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Juga Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Beliau berkata, perkembangan sektor penanaman nanas di Kelantan juga amat memberangsangkan dengan peningkatan luas bertanam sebanyak 55 peratus dan luas bantuan 82 peratus berbanding tahun sebelumnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -