
KOTA BHARU: Kajian Indeks Sosial Takwa menjadi indikator utama kejayaan pelaksanaan “Penghayatan Membangun Bersama Islam” (PMBI), kata Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut beliau, inisiatif diterajui Pusat Kajian Strategik Kelantan sejak tahun 2018 itu menunjukan pencapaian membanggakan termasuk membentuk sahsiah rakyat selain benteng kepada keruntuhan moral kini.
Malah beliau berkata, kajian tersebut turut mendapat kerjasama penuh dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), biarpun pelbagai laporan dan gambaran negatif dilemparkan kepada kerajaan negeri.
“Kita menilai dengan kita melihat Kajian Indeks Sosio Takwa, melihat tahap takwa, kepatuhan rakyat secara keseluruhannya, bila kita letak dasar “Membangun Bersama Islam”, Islam itu perlu dihayati.
“Kajian ini bukan sahaja dibuat oleh kita, bahkan pihak luar, UTP pernah buat kajian dan dapati tahap ketakwaan rakyat kita meningkat, ini kajian pihak luar dan kita juga boleh lihat sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Dato’ Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan bagi Penggal Kali Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Terdahulu beliau menjawab soalan lisan oleh Shaari Mat Yaman (PAS-Bunut Payong) yang bertanyakan mengenai keberkesanan dasar “Penghayatan Membangun Bersama Islam” sejak ianya dilancarkan pada 2023.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata PMBI digubal sebagai perancangan pembangunan selama 10 tahun bermula 2023 sehingga 2033 yang dilaksanakan secara berperingkat melalui dua fasa.
Menurutnya pertama 2024-2028 yang berpandukan dokumen hala tuju portfolio kerajaan negeri 2024-2028 dan 2029-2033 yang memberi tumpuan terhadap pengukuhan dan penilaian pencapaian fasa terdahulu.
Beliau berkata, pemantauan hala tuju protfolio kerajaan negeri 2024-2028 menjadi komponen utama dalam PMBI untuk dilaksanakan oleh jabatan kerajaan negeri, urusetia dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ada 770 pelan tindakan telah disenaraikan di bawah pelbagai portfolio, daripada jumlah itu sebanyak 275 telah dilaksanakan, 349 dalam proses, 116 masih belum dilaksanakan dan 30 sedang dikemas kini.
“Ia bagi memastikan keselarasan dengan dasar semasa dan keutamaan negeri, secara keseluruhan ini bermakna 624 pelan atau 80 peratus dalam fasa pertama telah dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2025




















