Kerajaan Kelantan peruntuk RM6.75 juta bantu armalah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan terus komited menjaga kebajikan golongan armalah apabila peruntukan bantuan tahunan meningkat daripada RM3.6 juta sejak mula diperkenalkan pada 2007 kepada RM6.75 juta pada tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, peningkatan itu membuktikan keprihatinan berterusan kerajaan negeri terhadap nasib armalah dan anak yatim di seluruh negeri.

Beliau berkata, setiap DUN menerima peruntukan sebanyak RM120,000 bagi bantuan adhoc dan sosio ekonomi armalah yang diagih secara dua fasa iaitu RM60,000 setiap fasa.

“Secara keseluruhan, sebanyak RM5.4 juta diagihkan kepada seluruh negeri untuk program bantuan ini.

“Jumlah penerima bantuan adhoc armalah dari tahun 2020 hingga 2025 ialah seramai 50,287 (2020), 29,822 (2021), 30,489 (2022), 32,700 (2023), 28,758 (2024) dan 28,853 orang bagi tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shaari Mat Yaman (PAS-Bunut Payong) dan Mohd Almidi Jaafar (PAS-Bukit Bunga) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri Kelantan Penggal Ketiga Tahun 2025.

Menurutnya, bagi tempoh sama, jumlah penerima bantuan Sosio Ekonomi Armalah ialah 1,695 orang manakala 288 armalah turut menerima manfaat daripada Tabung Usahawan Wanita untuk menjana pendapatan mereka.

“Kerajaan negeri tidak hanya memberi bantuan one-off semata-mata, tetapi turut menumpukan kepada pelan jangka panjang memperkukuh kedudukan ekonomi armalah melalui pelbagai program keusahawanan dan latihan kemahiran,” katanya.

Antara usaha itu termasuk bantuan perniagaan, program Jana Ekonomi di Pusat Latihan Wanita, OKU dan Armalah (PLWOA), kelas jahitan di Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK), serta program Kembara Armalah bagi membina jaringan komuniti dan membuka peluang keusahawanan.

Selain itu katanya, bantuan Tabung Usahawan Wanita memperuntukkan RM500,000 setahun khusus untuk wanita termasuk armalah, manakala kerjasama turut dijalinkan bersama institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan badan korporat bagi bimbingan keusahawanan.

Beliau juga memaklumkan sehingga 2025, seramai 49,088 armalah berdaftar dengan kerajaan negeri, termasuk 30,624 orang berumur 60 tahun ke atas dan 18,464 orang di bawah umur itu.

“Pendaftaran dan pengurusan bantuan ini diselia Penyelaras Pembangunan Armalah DUN (PPAD) yang memastikan tiada penerima tercicir melalui program Kelantanku Cakna di setiap kawasan.

“Setiap kes wanita kematian suami akan dilaporkan oleh penghulu kepada PPAD bagi urusan bantuan Skim Manfaat Armalah, manakala sekiranya armalah meninggal dunia, laporan juga dibuat untuk Skim Khairat Armalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap bimbingan rohani dan psikososial kepada armalah melalui ceramah motivasi, kaunter nasihat guaman, Kuliah Khas Wanita serta kumpulan sokongan seperti Skuad Kita Cakna (SKC), Mawaddah Support Team (MST) dan Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP).

Katanya, penurunan jumlah penerima bantuan adhoc sejak 2024 adalah kerana kerajaan memperluas bantuan dalam bentuk sosio ekonomi yang memberi manfaat jangka panjang kepada armalah berbanding bantuan segera.

Persidangan kali yang ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal ketiga Dewan Negeri Kelantan yang kelima belas tahun 2025, bermula hari ini dan Menteri Besar dijangka akan membentang belanjawan pada hari ini. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -