Senat Amerika tolak dasar tarif Trump: Apa nasib Malaysia?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Donald Trump kini berdepan tamparan paling besar apabila Senat Amerika Syarikat (AS) menolak dasar tarif global ciptaannya, yang telah memberi kesan buruk kepada lebih 100 negara, termasuk Malaysia.

- Advertisement -

​Dalam undian yang baru selesai, seramai 51 senator menolak dasar tersebut, dengan empat ahli Republikan berpaling tadah menyertai parti Demokrat, menandakan sokongan terhadap Trump semakin rapuh.

​Penulis bebas, Mazlan Syafie ketika mengulas perkembangan tersebut menyifatkan dasar yang diperkenalkan pada April 2025 itu telah mencetuskan kekacauan dalam pasaran global.

​Menurut kupasan beliau di laman Facebook miliknya, alasan Trump untuk ‘melindungi pengeluar tempatan’ akhirnya ‘menjerut rakyat sendiri’ apabila inflasi AS meningkat hampir sepuluh peratus dalam tempoh tiga bulan.

​”Apa yang dikatakan sebagai perlindungan ekonomi domestik akhirnya menjerut rakyat sendiri. Pengguna Amerika terpaksa membayar lebih untuk barangan import yang selama ini menjadi keperluan asas,” tulisnya.

​Mazlan berkata, Malaysia adalah antara negara yang terkesan apabila kadar tarif terhadap beberapa produk utama negara dinaikkan sehingga 19 peratus.

​”Syarikat tempatan yang bergantung kepada pasaran Amerika mula bergelut. Produk elektrik dan elektronik, sarung tangan getah serta perabot antara yang menerima tempias teruk.

​”Banyak perusahaan kecil terpaksa mencari pasaran baharu ke Asia Barat dan Eropah bagi menampung kerugian,” jelasnya.

​Data Kementerian Perdagangan Antarabangsa turut menunjukkan eksport negara ke Amerika menurun lebih lima peratus dalam suku kedua 2025.

​Tindakan Senat itu turut mendedahkan perpecahan dalaman Parti Republikan, di mana beberapa senator konservatif seperti Mitch McConnell dan Rand Paul secara terbuka menarik sokongan.

​Mereka menyifatkan tindakan mengenakan tarif ke atas sekutu sendiri adalah langkah yang ‘melumpuhkan ekonomi rakyat sendiri.’

​Parti Demokrat pula, menurut Mazlan, menjadikan isu ini sebagai senjata politik dan menggambarkan dasar Trump sebagai ‘ekonomi yang dikuasai ego, bukan data.’

Bekas ​Presiden, Joe Biden dilaporkan menyambut baik keputusan Senat itu dan menegaskan bahawa Amerika perlu kembali memimpin dunia dengan perdagangan yang adil, ‘bukan dengan menutup sempadan ekonomi.’

​Dalam pada itu, Mazlan turut mengulas bagaimana dasar tarif itu telah mencetuskan tindak balas berantai, dengan China mengenakan cukai tambahan manakala Kesatuan Eropah (EU) menilai tindakan serupa.

​Beliau berkata, China kini mengambil peluang untuk mengukuhkan pengaruhnya di Asia Tenggara, manakala Malaysia sedang menilai peluang memperluas eksport kelapa sawit dan semikonduktor ke pasaran China serta India.

​Walaupun keputusan Senat ini belum memansuhkan dasar itu sepenuhnya kerana ia masih perlu melalui Dewan Perwakilan, ia membuka ruang kepada kestabilan.

​”Pelabur antarabangsa kini menunggu… Jika berjaya, tarif global berkemungkinan ditarik balik menjelang awal 2026,” tulis Mazlan.

​Beliau melahirkan rasa sedih dengan kerakusan politik global yang menjejaskan ekonomi rakyat.

​”MasyaAllah. Betapa sedihnya apabila manusia masih menilai kejayaan melalui tamak dan kuasa. Dunia sedang diuji dengan kerakusan politik yang menggugat rezeki berjuta orang.

​”Semoga para pemimpin kembali memilih jalan yang adil, agar ekonomi menjadi jambatan persaudaraan, bukan senjata untuk menindas sesama manusia,” tulisnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -