‘Jangan kita yang atur Tuhan, seolah-olah kita lebih tahu’

Doa Hasanah mahkota segala doa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Doa ‘Rabbana atina fid-dunya hasanah, wa fil-akhirati hasanah, wa qina azaban nar’ dinamakan ulama sebagai mahkota segala doa kerana di dalamnya terkandung permintaan menyeluruh yang mencakupi kebaikan dunia, kebaikan akhirat dan perlindungan daripada azab.
 
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, doa yang paling baik dan sempurna itu wajar diamalkan setiap masa, sama ada dalam solat, antara dua sujud, selepas salam atau ketika bersendirian, kerana ia melambangkan ketundukan dan kebergantungan penuh kepada Allah.
 
Beliau berkata, hasanah di dunia membawa makna luas termasuk kesihatan tubuh badan yang menjadi nikmat utama, diikuti ilmu bermanfaat, rezeki berkat, isteri baik, anak-anak soleh, sahabat setia, jiran mulia serta ketenangan jiwa di mana tidak dapat dibeli dengan harta.
 
Menurutnya, hasanah di akhirat pula bermula dengan keampunan daripada dosa kerana dosa menjadi penghalang terbesar menuju syurga, manakala kemuncak kebaikan akhirat ialah syurga yang menjadi tempat segala nikmat serta rahmat dan reda Allah.

- Advertisement -

“Apabila kita baca doa ini, sebenarnya kita sudah meminta segala yang kita perlukan, tidak perlu doa yang panjang. Kalau berdoa sendirian di tengah malam, silakan berbicara panjang dengan Allah. Itulah waktu bermunajat, berbicara dengan penuh kasih dengan Tuhan yang mendengar.
 
“Namun apabila berdoa bersama orang ramai, terutamanya sebagai imam, biarlah doa itu sederhana dan sesuai. Jangan terlalu pendek sampai orang tidak tahu apa dibaca, dan jangan pula terlalu panjang hingga orang letih menunggu,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
 
Menurut beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Nabi SAW sendiri mengajar agar doa berjemaah itu ringkas, padat dan penuh makna.
 
“Kalau masih sukar menghafal doa Arab, cukuplah dengan bahasa sendiri. Katakan dengan hati yang jujur, ‘Ya Allah, berilah aku yang baik, jauhilah aku daripada yang buruk, kerana Engkau lebih tahu apa yang terbaik untuk diriku’. Itu pun sudah memadai,” jelasnya.
 
Mohd Amar berkata, kadangkala manusia merancang untuk kaya dan senang, namun Allah tidak mengizinkan bukan kerana tidak mahu memberi, tetapi kerana Dia tahu jika kekayaan itu diberikan, mungkin hamba akan lupa diri dan lalai daripada tanggungjawab agama.
 
“Sebaliknya Allah beri rezeki dalam bentuk lain, anak-anak yang soleh, keluarga yang menenangkan, hidup yang sederhana tapi bahagia. Itulah kekayaan sebenar.
 
“Bila umur meningkat, kita akan sedar betapa besar maknanya ada anak dan cucu yang datang bertanya khabar, yang mendoakan kita, walaupun hanya dengan satu mesej ucapan hari raya.
 
“Sebab itu, biarlah doa kita bersandar pada kebijaksanaan Allah. Minta yang baik, biar Allah tentukan apa bentuknya. Jangan kita yang mengatur Tuhan, seolah-olah kita lebih tahu daripada Dia.
 
“Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Kita hanya perlu berdoa, percaya, dan redha dengan ketentuan-Nya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Panchor.. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -