RM500 bantuan khas kepada penjawat awam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri berjawatan gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka kepada negeri ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, bantuan tersebut melambangkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan penjawat awam yang sentiasa komited menjalankan amanah untuk rakyat.

Selain itu, jelas beliau, Bantuan Khas Kewangan tersebut turut dipanjangkan kepada lantikan politik, dengan jumlah yang akan ditentukan oleh pihak kerajaan negeri.

“Bayaran bantuan khas ini akan disalurkan pada awal bulan Mac 2026 bagi meringankan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, dengan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM4.97 juta,” katanya.

Beliau mengumumkan demikian sewaktu membentangkan Belanjawan 2026 pada Persidangan Kali Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelantan Kelima Belas tahun 2025, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 90 peratus ke atas tunggakan denda cukai tanah kepada seluruh rakyat Kelantan sebagai langkah prihatin terhadap beban kewangan rakyat.

Menurut beliau, tawaran diskaun itu akan dinikmati bagi tempoh satu bulan bermula 1 hingga 30 Disember 2025, tertakluk kepada kaedah bayaran seperti yang diperuntukkan dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Kelantan Bilangan 1 Tahun 2025.

Kerajaan negeri katanya, sentiasa menekankan kebajikan rakyat sebagai keutamaan dan akan terus memperkukuh dasar berteraskan Islam dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap kesejahteraan seluruh rakyat Kelantan.

Kerajaan negeri berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan beban rakyat dan penjawat awam dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, di samping memperkukuh semangat kebersamaan antara pentadbiran dan rakyat Kelantan. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -