Kerajaan didesak percepat pindaan Akta GSA 1960

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempercepatkan pindaan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 bagi membolehkan generasi baharu peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) membina kediaman.

- Advertisement -

Ustaz Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, golongan tersebut kini berdepan kekangan perundangan yang lapuk khususnya membabitkan larangan pembinaan lebih daripada sebuah lagi rumah dalam lot tanah.

Biarpun kerajaan pada tahun 2017 melaksanakan polisi dua rumah dalam satu lot kata beliau, namun dasar tersebut dibatalkan pada tahun 2022 kerana dilihat bercanggah dengan peruntukkan dalam Akta 530.

“Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini terhadap isu besar yang menjadi asas kelestarian sebenar tanah rancangan FELDA iaitu keperluan yang mendesak untuk meminda akta ini iaitu Akta 530.

“Antara isu yang timbul ekoran kekangan akta ini ialah kebenaran pembinaan sebuah lagi rumah atas lot tanah tapak kediaman peneroka, lot kediaman ibu bapa atau ringkasan dua rumah dalam lot,” katanya.

Beliau turut isu tanah FELDA yang berstatus milik negeri ketika berucap menyertai perbahasan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Hal itu terbukti kata beliau lagi, apabila lebih 14,000 hektar tanah di Terengganu yang diusahakan oleh entiti Persekutuan itu, bagaimanapun tanah tersebut masih kekal di atas nama kerajaan negeri.

Beliau berkata masalah yang berlarutan hampir 40 tahun itu menyebabkan kerajaan negeri mengalami kehilangan punca pendapatan termasuk cukai dan premium tanah termasuk perbicaraan di Mahkamah.

“Isu pengurusan tanah FELDA masih belum tuntas, walaupun sudah berlarutan hampir 40 tahun banyak tanah yang diusahakan oleh FELDA masih berstatus tanah kerajaan negeri, tiada geran hak milik yang sah.

“Akibatnya kerajaan negeri kehilangan hasil, persoalannya adakah Kerajaan Pusat bersedia menyelesaikan isu ini, sudahkah ada rundingan serius dengan negeri bagi melunaskan bayaran tertunggak,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -