
KOTA BHARU: Sektor veterinar kini menjadi antara pemacu utama dalam memperkukuh pembangunan industri ternakan berdaya saing, sekali gus mampu menjana ekonomi negeri.
Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, keupayaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) melaksanakan kawalan penyakit haiwan dengan berkesan telah meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan makanan negeri.
Menurutnya, pada masa sama, kemajuan bioteknologi serta kemunculan generasi muda usahawan dalam bidang penternakan telah membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan ternakan yang lebih dinamik.
“Peranan sektor veterinar kini jauh lebih luas. Ia bukan sahaja memastikan kesihatan dan kebajikan haiwan, tetapi juga menjamin keselamatan makanan rakyat serta kelestarian sumber protein tempatan.
“Sektor ini menjadi tunjang kepada daya tahan industri pertanian negeri,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri itu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Veterinar Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang diadakan di sebuah hotel di sini kelmarin.
Sempena majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Veterinar kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Jajahan Cemerlang, rakan strategik, pegawai serta staf.
Mereka menerima pengiktirafan khas atas kecemerlangan dan dedikasi dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Saripudin merakamkan penghargaan kepada JPVNK atas komitmen berterusan dalam memperkukuh sistem veterinar negeri melalui pelbagai inisiatif kawalan, program kesedaran awam serta kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, swasta dan komuniti penternak.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga JPVNK yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam perkhidmatan veterinar, tetapi juga dalam menggerakkan pelan pembangunan ternakan negeri yang mampan.
“Sinergi bersama pelbagai agensi amat penting bagi memperkukuh keselamatan makanan dan ekonomi tani,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising.
Beliau menyeru warga Jabatan Perkhidmatan Veterinar agar terus memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan inovasi selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan sektor penternakan sebagai teras pertumbuhan ekonomi pertanian baharu yang berdaya tahan dan lestari.
“Veterinar bukan lagi hanya tentang kawalan penyakit, tetapi tentang masa depan industri penternakan yang membina daya saing, memacu bioteknologi dan mencipta peluang ekonomi baharu untuk rakyat Kelantan,” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, pegawai kanan jabatan serta wakil-wakil agensi berkaitan. – HARAKAHDAILY 5/11/2025




















