Pelajar SRIAT angkat martabat Jawi, Perlis johan kebangsaan

- Advertisement -

BANGI: Nama negeri Perlis sekali lagi dijulang di pentas kebangsaan apabila murid Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT) dinobatkan Johan kategori tulisan Jawi dalam Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Rendah Agama (MIISRA) Peringkat Kebangsaan 2025.

- Advertisement -

Kejayaan membanggakan itu disifatkan sebagai bukti bahawa sekolah agama rakyat juga berdaya saing dan mampu melahirkan pelajar cemerlang yang mengharumkan nama negeri di peringkat nasional.

Pihak sekolah dalam kenyataannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa adik Abdul Fattah Mahadhir, iaitu Ustaz Mahadhir Abd Rahman dan Ustazah Mazidah Hashim, serta jurulatih tulisan Jawi, Ustaz Danial Hakimi.

Atas dedikasi dan sokongan padu yang diberikan mereka dalam membimbing pelajar berkenaan telah membuahkan hasil menerusi kejayaan diraih pada pertandingan tersebut.

Majlis tersebut diadakan selama 3 hari bermula 2 hingga 4 November di Hotel Tenera and Suites, di sini.

Menurut pihak sekolah, kemenangan itu turut mencerminkan komitmen berterusan barisan pendidik dan ibu bapa dalam memartabatkan tulisan Jawi, selain mendidik anak-anak menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.

Ia juga adalah hasil usaha berpasukan serta kesungguhan untuk menjulang kembali martabat tulisan Jawi dalam kalangan generasi muda.

Kemenangan ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada warga sekolah, malah menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar sekolah agama rakyat di negeri Perlis untuk terus menonjol dalam pelbagai bidang keilmuan dan kebudayaan Islam. – HARAKAHDAILY 5/11/2025

- Advertisement -