
KUALA LUMPUR: Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin, membangkitkan kebimbangan terhadap kesan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald John Trump.
Abdul Kadir menyamakan Trump dengan watak mitos Melayu ‘Sang Kelembai’, di mana setiap sesuatu yang ditegurnya akan bertukar menjadi batu, sebagai kiasan kepada kemusnahan dibawa oleh dasar perdagangan Trump.
“Saya tidak hairan dan tidak salahkan sesiapa kalau tidak faham Perjanjian Perdagangan Timbal Balas, tetapi kalau saya bandingkan Trump dengan Sang Kelembai (atau Gedembai) mungkin banyak orang tahu,” tulisnya di laman Facebook beliau.
Beliau menyifatkan Trump telah melancarkan perang dagang terhadap dunia dan memeras ugut negara lain dengan tarif melangit, yang akhirnya menyebabkan kekacauan di negara Trump sendiri.
“Golongan petani dia menderita. Dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2024, mereka inilah yang sokong dia. Dia berjaya auta mereka. Sekarang mereka menderita kerana China enggan beli hasil keluaran mereka. Natijahnya, berbaik-baik dengan Trump tidak semestinya baik,” tegasnya.
Abdul Kadir turut membuat perbandingan dengan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang juga ‘beria-ia hendak dilihat baik dengan Trump’ menjelang Pilihan Raya Umum 2018.
Katanya, Najib begitu gembira dapat melawat Rumah Putih pada 12 September 2017 dan berjanji membantu ekonomi Amerika menggunakan dana Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Lapan bulan kemudian, pada 9 Mei 2018, dia kalah kepada Pakatan Harapan, Trump pun kena badi juga. Pada tahun 2020 dia tewas kepada Joe Biden,” katanya.
Menurut Abdul Kadir, kini Anwar juga kelihatan gembira seperti Najib, dapat berdansa, naik The Beast (kereta rasmi Trump) dan tandatangan perjanjian dengannya, sambil dipuji Trump sebagai ‘a good man’.
Bagaimanapun, beliau memetik amaran daripada bekas diplomat kanan Singapura, Bilahari Kausikan, yang menyatakan perjanjian itu memberi ‘kuasa veto kepada Amerika ke atas beberapa aspek dasar perdagangan Malaysia’.
“Lebih membimbangkan, ia mengehadkan kemampuannya bertindak, malah menyekat dasar Bumiputera,” kata Abdul Kadir memetik Bilahari.
Beliau turut menarik perhatian kepada kenyataan Duta Besar Amerika ke Malaysia, Edgard D Kagan, yang memberi peringatan bahawa ‘Presiden Trump amat jelas mengenai garisan-garisan merah.
Trump juga kata Edgard, berwaspada dengan padah diseberangi, walaupun Amerika menghormati dasar luar Malaysia termasuk hubungan dengan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
Abdul Kadir menyimpulkan, sama seperti Najib yang berdepan kempen ‘Selamatkan Malaysia’ akibat skandal 1MDB, kini Anwar mungkin berdepan situasi serupa.
“Waktu Mohd Najib mengunjungi Trump, dia sedang berdepan dengan kempen ‘Selamatkan Malaysia’… Sekarang giliran Anwar pula. Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang beliau tandatangani dengan Trump menjadi sumber penyatuan pihak-pihak yang menentang beliau.
“Tidak mustahil akan berlaku kempen ‘Selamatkan Malaysia 2.0’,” katanya memberi bayangan. – HARAKAHDAILY 5/11/2025











