
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) bimbang dengan masa depan negara selepas kerajaan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia baru-baru ini.
Pertubuhan itu juga menyatakan rasa bimbang kerana perjanjian tersebut mempunyai perkara mengikat dan merantai kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Syakir Norazli berkata, Geng Ustaz membantah tindakan itu serta menyatakan pendirian untuk bersama-sama dengan pihak lain yang turut tidak bersetuju dengan ART itu.
Ia jelasnya bersama pihak yang merumuskan bahawa perjanjian berkenaan menggadai dan memajak kemerdekaan serta kedaulatan negara selain memperhambakan Malaysia kepada Amerika Syarikat.
Menurutnya, perkara membabitkan kepentingan nasional sepatutnya dilibat urus terlebih dahulu dengan pemegang taruh serta mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak dalam negara sebelum dimeterai perjanjian yang dianggap berat sebelah itu.
“Namun, apa yang berlaku sebaliknya apabila didedahkan Kaukus yang sepatutnya dilaksanakan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat sebelum perjanjian ini dimeterai, hanya sekadar taklimat dan tidak didedahkan perinciannya,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau mendesak agar kerajaan segera membatalkan perjanjian itu seperti yang dikatakan mempunyai klausa keluar, atau berdepan dengan kemarahan dan kebangkitan rakyat luar biasa yang tidak pernah berlaku sepanjang pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Kita telah membayar harga untuk sebuah kemerdekaan dengan nilai yang sangat mahal dan panjang. Tiba-tiba hari ini kemerdekaan dan kedaulatan untuk mentadbir dan menentukan hala tuju negara ini diikat oleh satu perjanjian.
“(Ia perjanjian itu) yang dibuat oleh orang-orang yang dungu dan gopoh dalam negara yang sanggup menjadi ‘pak turut’ kepada Amerika Syarikat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2025











