ART Malaysia-AS: Implikasi terhadap negara jiran

- Advertisement -

“PERLU saya tegaskan, rundingan ini bukanlah pilihan yang kita minta. Suka atau tidak, kita perlu berhadapan dengan realiti ini yang jelas tidak adil.” – Menteri MITI

Pada 26 Oktober 2025, Rumah Putih mengumumkan beberapa perjanjian dan rangka kerja perdagangan (ART) baharu bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala Amerika Syarikat (AS) dengan Kemboja, Malaysia, Vietnam dan Thailand.

Secara khusus, Malaysia dan Kemboja telah memeterai ‘perjanjian’ (agreement) yang muktamad, manakala Thailand dan Vietnam hanya bersetuju kepada ‘rangka kerja’ (framework) yang belum dimuktamadkan sepenuhnya.

- Advertisement -

Sebagai perbandingan:

1. Perjanjian perdagangan Kemboja.

AS dan Kemboja bersetuju melaksanakan perjanjian perdagangan timbal-balik bagi menghapuskan tarif ke atas 100 peratus barangan industri, makanan dan produk pertanian AS yang dieksport ke Kemboja. AS akan mengekalkan tarif timbal-balik 19 peratus bagi produk tertentu dan mengenal pasti barangan Kemboja yang layak menikmati kadar tarif sifar (0 peratus).

Kemboja juga komited menangani halangan bukan-tarif serta memperkukuh perlindungan hak pekerja dan piawaian alam sekitar, di samping aspek perdagangan digital dan harta intelek.

2. Perjanjian perdagangan Malaysia.

AS dan Malaysia mencapai persetujuan perdagangan timbal-balik pada kadar tarif 19 peratus. Malaysia memberikan akses pasaran istimewa yang signifikan kepada eksport AS, sementara kedua-dua negara bersetuju menangani halangan tarif dan bukan tarif bagi sektor terpilih.

Perjanjian ini turut merangkumi komitmen dalam perdagangan digital, harta intelek, perlindungan alam sekitar, serta pelaburan dan perbelanjaan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain itu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai bagi mempelbagaikan rantaian bekalan mineral kritikal global dan menggalakkan pelaburan.

3. Rangka kerja perdagangan Thailand.

AS dan Thailand bersetuju dengan rangka kerja bagi perjanjian perdagangan timbal-balik. Thailand akan menghapuskan halangan tarif ke atas 99 peratus barangan, manakala AS mengekalkan tarif 19 peratus sambil mengenal pasti produk yang layak mendapat kadar sifar.

Rangka kerja ini turut merangkumi komitmen terhadap hak pekerja, perlindungan alam sekitar dan perdagangan digital.

Satu memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani bagi mempelbagaikan rantaian bekalan mineral kritikal dan menggalakkan pelaburan.

4. Rangka kerja perdagangan Vietnam.

AS dan Vietnam bersetuju dengan satu rangka kerja ke arah perjanjian perdagangan yang timbal-balik, adil dan seimbang. Vietnam memberi akses pasaran istimewa kepada eksport AS, sementara AS mengekalkan tarif 20 peratus dan mengenal pasti produk yang layak untuk kadar tarif sifar (0 peratus).

Kedua-dua negara juga bersetuju menangani halangan bukan tarif serta memuktamadkan komitmen dalam perdagangan digital, perkhidmatan dan pelaburan.

Implikasi perjanjian ‘versi-Malaysia’ terhadap negara jiran

Perkara 5.1 dalam Perjanjian Malaysia-AS menyatakan dengan jelas bahawa sekiranya Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap mana-mana negara ketiga, Malaysia ‘hendaklah menerima pakai atau mengekalkan langkah yang mempunyai kesan sekatan yang setara dengan langkah yang diambil oleh AS’.

Persoalannya, mengapa Malaysia tidak boleh menentukan sendiri pendekatan terbaik bagi menjaga kepentingan ekonomi dan keselamatan nasional, di samping mengekalkan prinsip ‘neutrality’ dan ‘centrality’ di pihak ASEAN.

Dimensi ‘kedaulatan serantau’ turut menjadi elemen yang tidak boleh diketepikan.

Tindakan Malaysia menandatangani perjanjian lebih awal dilihat menjejaskan keseragaman rundingan ASEAN, sementara Thailand dan Vietnam masih berhati-hati menilai pilihan mereka.

Langkah ini memberi ruang kepada Washington menjadikan Malaysia sebagai duluan (precedent), lalu menekan negara jiran dengan persoalan: “Kuala Lumpur boleh bersetuju, mengapa tidak kamu?”

Penilaian sebenar terhadap aspek ‘kedaulatan serantau’ hanya akan dapat dibuat selepas Thailand, Indonesia dan Vietnam memuktamadkan perjanjian masing-masing.

Sekiranya Thailand dan Indonesia kelak berjaya memeterai perjanjian yang lebih longgar, tanpa komitmen LNG, tanpa klausa sekatan, dan dengan autonomi digital yang lebih luas, Malaysia akan kelihatan sebagai negara yang terlalu awal mengalah dan terlalu banyak berkompromi.

Namun jika mereka menuruti langkah yang sama, Malaysia boleh dianggap mendahului langkah (first mover) dengan memperoleh kejelasan dan kestabilan lebih awal.

Tetapi jika mereka akhirnya berjaya merundingkan terma yang lebih ringan, Malaysia akan kelihatan sebagai pihak terpencil; negara yang tunduk terlalu awal dan menyerah terlalu banyak.

Memetik tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad;

“Apa yang kita saksikan bukanlah satu perkongsian, jauh sekali timbal-balik. Ini adalah penyerahan kebebasan ekonomi yang kita bina, dan telah kita pertahankan dengan susah payah.”

MOHD SYAHIR CHE SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok – HARAKAHDAILY 5/11/2025

- Advertisement -