
ALOR SETAR: Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat menghadiri Majlis Perasmian Urban Forest 1 yang berlangsung penuh istiadat di Dataran Medan Bandar, di sini pada Ahad.
Program Urban Forest 1 merupakan kesinambungan kepada Project 2 Million, inisiatif besar-besaran yang digerakkan oleh Jemaah Dato’ Negeri Kedah untuk menanam sebanyak 2.2 juta pokok di seluruh negeri.
Projek ini mensasarkan tiga komponen utama iaitu hutan bandar, hutan terosot dan kawasan paya bakau, yang akan dilaksanakan secara berfasa dari tahun 2025 hingga 2030.
Inisiatif ini bukan sekadar program penanaman pokok, tetapi satu gerakan menyeluruh untuk memulihkan ekosistem, memperindah landskap bandar, dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar.
Turut berangkat sama, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff serta Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Tunku Che Puan Nur Julie Ariff.
Juga Tunku Bendahara Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah serta Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.
Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali dan isteri, Datin Seri Norhasni Ishak sertaSpeaker Dewan Undangan Negeri, Zubir Ahmad dan Mufti Negeri, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang.
Hadir sama, ahli-ahli Pertubuhan Jemaah Dato’ Negeri Kedah, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, serta dif-dif kenamaan dan pemimpin masyarakat dari seluruh negeri.
Pelaksanaan Urban Forest 1 adalah hasil kerjasama erat antara Jemaah Dato’ Negeri Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan serta badan korporat.
Majlis perasmian tersebut mencerminkan keprihatinan dan komitmen tinggi Tuanku Sultan terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesinambungan kehidupan hijau di Kedah Darul Aman.
Inisiatif ini diyakini akan menjadi pemangkin kepada pembentukan identiti bandar yang lestari serta memperkukuh usaha Kedah ke arah negeri hijau dan sejahtera, selaras dengan agenda pembangunan mampan negeri dan negara. – HARAKAHDAILY 29/10/2025





















