Perjanjian rugikan, buruk terhadap ekonomi negara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perjanjian antara Malaysia dan Amerika Syarikat bukan sahaja dilihat berat sebelah, malah memberi kesan buruk terhadap kepentingan ekonomi negara.

- Advertisement -

Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, berdasarkan butir-butir perjanjian yang diuar-uarkan, beliau bimbang terhadap kesan buruk yang bakal diterima negara.

“Perjanjian ini sangat berat sebelah dan jelas lebih menguntungkan Amerika berbanding Malaysia,” ujar Pengerusi BERSATU Kelantan dan Exco Kerajaan Negeri itu.

Menurutnya, Malaysia juga dilihat tertekan untuk menerima syarat perjanjian tersebut yang boleh menjejaskan hubungan perdagangan dengan beberapa negara lain, termasuk Indonesia.

“Contohnya, pembelian arang batu yang diperlukan untuk penjanaan kuasa oleh Tenaga Nasional Berhad kini diperoleh dari Indonesia. Saya tidak nampak rasionalnya mengapa kita perlu membeli dari Amerika yang jaraknya begitu jauh,” katanya.

Beliau tidak dapat memastikan adakah Malaysia perlu menghentikan pembelian arang batu dari Indonesia yang jarak masa hanya satu jam selepas perjanjian dengan Amerika yang jarak masanya 12 jam.

Dalam masa sama beliau mempersoalkan kewajaran PETRONAS perlu membeli gas asli dari Amerika sedangkan Malaysia sendiri merupakan negara pengeluar gas.

“Keadaan ini tidak ubah seperti orang Eskimo yang dipaksa membeli ais dari negara Timur Tengah yang tidak mempunyai ais,” bidas beliau kepada perjanjian ditandatangani Ahad lalu itu.

Kamaruddin turut menyatakan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan negara yang kini berdepan hutang mencecah RM1 trilion.

“Jika Malaysia terpaksa membeli barangan Amerika bernilai tinggi, sudah tentu sumber kita tidak akan mencukupi.

“Akibatnya, kita mungkin terpaksa berhutang lagi dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang terkenal dengan perangkap hutangnya terhadap negara dunia ketiga,” ujarnya lagi.

Sambungnya, ada negara ketiga menjadi muflis akibat pinjaman IMF, dan jika Malaysia terjebak dalam situasi serupa, aset-aset negara boleh tergadai.

Beliau menegaskan, sudahlah ekonomi negara terjejas di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, dan dengan perjanjian ini, lubang hutang negara akan menjadi semakin luas dan dalam.

Beliau turut menyatakan kekesalan kerana produk utama negara seperti minyak kelapa sawit masih gagal menembusi pasaran Amerika meskipun selepas perjanjian tersebut dimeterai.

“Kalau begitu keadaannya, tidak ada sebab mengapa kita perlu bersetuju dengan perjanjian yang jelas merugikan dan menekan rakyat serta negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -