LPT ke Kelantan masih kabur, MP tuntut kejelasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mempersoalkan sikap kerajaan yang masih gagal menjelaskan hala tuju pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sepatutnya diteruskan hingga ke Kelantan.

- Advertisement -

Beliau bertanya demikian ketika mencelah penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 peringkat dasar oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi pihak Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Syahir bangkit bertanya perkara tersebut apabila tiada sebarang penjelasan konkrit diberikan berhubung status sambungan projek berkenaan.

“Ini bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Sepatutnya sekurang-kurangnya kajian kerja-kerja awalan bagi sambungan LPT ke Kelantan sudah dinyatakan, namun langsung tidak disentuh,” tegas beliau.

Mengikut rekod, Mohd Syahir sudah beberapa kali membangkitkan isu sambungan LPT ke Kelantan dalam pelbagai perbahasan sebelum ini, termasuk ketika sesi Belanjawan dan perbahasan Rancangan Malaysia terdahulu, namun masih belum menerima komitmen jelas daripada kerajaan.

Menjawab persoalan itu, Amir Hamzah sekadar menyatakan bahawa perkara tersebut akan dibincangkan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kemungkinan dimasukkan dalam rolling plan kedua RMK13.

Selain itu, Mohd Syahir turut menyoal status Rang Undang-undang (RUU) Statistik yang dikatakan akan dibentang tahun ini memandangkan Akta Perangkaan sedia ada kali terakhir disemak pada tahun 1989.

“Akta ini sudah lebih tiga dekad tidak disemak. Dengan perubahan besar dalam kaedah pengumpulan dan analisis data, kerajaan perlu pastikan dasar statistik negara dikemas kini agar seiring dengan keperluan semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -