
KUALA LUMPUR: Pembangkang secara sinis mencadangkan agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menukar kerjayanya dan menjadi penari susulan tular video beliau menari bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Anwar berkelakuan demikian ketika lawatan Trump ke Malaysia awal minggu ini dan video beliau bangun menari ketika majlis makan malam bersama pemimpin-pemimpin negara ASEAN.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata tiada siapa dalam kalangan pembangkang yang iri hati dengan aksi Anwar itu, ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Namun menegaskan bahawa perkara yang dibangkitkan adalah soal maruah negara dan kandungan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (AS).
“Kami tak cemburu pun tengok dia menari. Tapi dalam majlis rasmi, di hadapan pemimpin dunia, Perdana Menteri bangun menari — ini bukan soal suka atau tidak suka, ini soal imej negara,” katanya.
Hamzah turut menyindir bahawa jika minat menari lebih besar daripada mentadbir, Anwar mungkin sesuai menyertai pertandingan menari bagi mewakili Malaysia.
“Kalau rasa nak menari saja, tukarlah profesion. Malaysia mungkin perlukan penari yang bagus, bolehlah Perdana Menteri wakil negara dalam kejohanan antarabangsa,” katanya berseloroh.
Sidang media bersama beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu bagi mengulas sesi taklimat oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berhubung perjanjian tersebut.
Hamzah menjelaskan bahawa pembangkang bukan menyoal soal gaya atau peribadi Perdana Menteri, tetapi menuntut penjelasan terhadap kandungan perjanjian tersebut.
Khususnya tegas beliau, Perkara 3.3 yang mewajibkan Malaysia berunding dengan Amerika Syarikat sebelum menandatangani sebarang perjanjian perdagangan digital dengan negara lain.
“Kami persoalkan isi perjanjian yang boleh jejaskan kedaulatan ekonomi negara, bukan soal dia menari atau tidak. Ini soal maruah kerajaan,” tegas beliau.
Perjanjian perdagangan timbal balik itu mengekalkan kadar tarif bagi Malaysia pada 19 peratus, sementara beberapa kategori barangan seperti semikonduktor dan komponen elektronik utama kekal dikecualikan daripada cukai tersebut.
Video aksi menari Anwar dan Trump ketika sambutan rasmi di lapangan terbang mendapat lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform media sosial, mengundang pelbagai reaksi rakyat — antara pujian dan kecaman. – HARAKAHDAILY 29/10/2025











