Bangga pelumba cilik wakili Malaysia ke pentas dunia

Fitri (kanan) menyampaikan sumbangan dari Tarmizi kepada waris Al-Adam sebagai tanda sokongan dan dorongan sebelum keberangkatannya ke Sepanyol
- Advertisement -

PAYA BESAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya menzahirkan rasa bangga dan kagum terhadap kejayaan pelumba cilik berbakat besar, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff, 11 tahun.

- Advertisement -

Murid darjah 5 itu bakal mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia FIM MiniGP World Series 2025 di Valencia, Sepanyol, pada 9 November ini.

Menurut beliau, kejayaan Al-Adam bukan sahaja mengharumkan nama keluarga dan negeri Pahang, malah menjadi bukti bahawa usia muda bukan halangan untuk mencapai kejayaan luar biasa dalam sukan permotoran.

“Saya bangga adik Adam yang berasal dari bumi Kuantan akan mewakili negara ke peringkat dunia. Adam mewakili Malaysia, satu pencapaian yang sangat hebat.

“Buat yang terbaik, pastikan peroleh kejayaan dan membanggakan mak ayah serta negara. Yang penting, jaga kesihatan dan jangan lupa solat,” katanya kepada Harakahdaily, semalam.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Al-Adam sebagai tanda sokongan dan dorongan sebelum keberangkatannya ke Sepanyol.

Sumbangan berupa wang tunai tersebut disampaikan melalui Pegawai Khas beliau, Mohd Fitri Abdullah, dalam satu perjumpaan ringkas di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Panching, di sini.

Untuk rekod, Al-Adam sebelum ini mencuri tumpuan selepas muncul juara keseluruhan FIM MiniGP Malaysia Series 2025 kategori 160cc, sekali gus melayakkannya mewakili negara ke kejohanan dunia bersama seorang lagi pelumba muda, Qasha Irfan Azlan, 11, dari Terengganu.

Pelumba muda kelahiran Sungai Isap, Kuantan itu mula menceburi sukan permotoran sejak berusia tujuh tahun dan kini bernaung di bawah pasukan ZK Racing. – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -