
KLANG: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza mencetuskan perhatian ramai apabila lebih 70 peratus daripada relawannya terdiri daripada bukan Islam, sekali gus menonjolkan nilai kemanusiaan sejagat melangkaui batas agama dan bangsa.
Menurut relawan yang menyertai misi tersebut, Norhelmi Ab Ghani, penyertaan relawan bukan Islam dari seluruh negara itu membuktikan bahawa mereka bersatu atas satu matlamat iaitu membawa bantuan kemanusiaan.
Tambahnya, mereka menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang berdepan dengan kekejaman rejim Zionis, apabila sanggup menempuh perjalanan berisiko tinggi melalui perairan antarabangsa, serta kemungkinan ditahan atau diserang oleh tentera Israel.
Namun katanya, semangat mereka tidak goyah, malah semakin kuat dengan setiap ancaman yang diterima, menjadikan perkara dizahirkan relawan tersebut perlu menjadi pengajaran kepada kalangan orang Islam sendiri.
“Kita perlu bermuhasabah apabila nilai kemanusiaan dan keberanian yang ditonjolkan oleh sukarelawan bukan Islam dilihat jauh lebih tinggi berbanding segelintir masyarakat Islam sendiri,” katanya di majlis Hi-Tea anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor, baru-baru ini.
Menurut Norhelmi, selepas menjalani latihan simulasi beliau tersedar bahawa misi itu adalah ‘one way ticket’ iaitu tiada jaminan untuk pulang dan kerana itulah kapal-kapal yang membawa relawan bukan disewa, tetapi dibeli kerana ia tiada jaminan untuk balik.
“Ketika bot kami menghampiri Gaza, kapal kami sentiasa diganggu dengan tentera Israel dan disuluh dengan ‘spot light’ yang sangat terang. Sekitar 4 pagi, kapal kami dipintas dan lebih kurang 10 orang tentera naik ke kapal kami. Kami diperiksa setiap seorang,” luahnya.
Beliau mengingatkan bahawa misi kemanusiaan menyelamatkan rakyat Palestin adalah perjuangan semua orang dan menyeru agar menjadi mata rantai perjuangan untuk membebaskan rakyat Gaza dari cengkaman kejam Israel.
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor telah memulakan program jelajah (road show) bagi berkongsi pengalaman relawan mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai realiti sebenar di bumi Palestin serta menanam semangat kemanusiaan dan solidariti terhadap rakyat yang tertindas di wilayah berkenaan.
Siri jelajah tersebut dimulakan dengan Majlis Hi-Tea di Klang, yang menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat setempat.
Program berkenaan turut menampilkan perkongsian langsung daripada relawan Yayasan Amal Malaysia yang baru pulang dari Gaza melalui Misi Global Sumud Flotilla.
Selepas Klang, siri jelajah itu akan diteruskan ke beberapa kawasan lain di Selangor, termasuk Subang Jaya, Sabak Bernam, Kota Raja, dan Ulu Langat.
Setiap lokasi akan menampilkan sesi dialog, tayangan dokumentari misi, serta peluang untuk orang ramai menyertai dan menyumbang kepada projek bantuan kemanusiaan akan datang. – HARAKAHDAILY 29/10/2025











