
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini membangkitkan persoalan di Dewan Rakyat mengenai status sebenar penggunaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibangunkan kerajaan dengan kos tinggi, namun kini seolah-olah tidak lagi digunakan dalam pelaksanaan skim bantuan rakyat.
Beliau yang bangun mencelah ketika sesi penggulungan perbahasan Bajet 2026 peringkat dasar oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menjawab bagi pihak Kementerian Ekonomi, menyoal mengapa sistem tersebut tidak lagi digunakan sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini.
“Saya tanya secara jelas, sistem PADU ni kenapa tak guna dah sekarang? Tapi jawapan yang diberi berlegar-legar di awan imaginasi, asyik ulang ‘akan guna’, ‘akan diperluas’, ‘akan dimantapkan’,” tulisnya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurut beliau, kenyataan menteri itu tidak menjawab persoalan asas, sedangkan semua skim bantuan kerajaan hari ini langsung tidak menggunakan PADU.
“Jadi persoalannya, menteri tak tahu ke skim mana yang dah guna, atau memang PADU ni dah hilang terus dari radar kerajaan?” tambah beliau yang juga Ketua Penerangan PAS.
Ahmad Fadhli turut mengingatkan bahawa sistem PADU bukanlah projek murah, kerana ia dibangunkan dengan kos RM85 juta, seperti dilaporkan portal Suara Keadilan.
“Takkanlah sebab Menteri Ekonomi yang buat PADU dah pergi, sistem PADU pun ikut pergi sama?” sinisnya terhadap sistem yang sebelum ini dilancarkan sebagai pangkalan data menyeluruh bagi menambah baik penyasaran bantuan kerajaan kepada rakyat.
Namun penggunaannya kini khususnya selepas peletakan jawatan Menteri Ekonomi sebelum ini Dato’ Seri Rafizi Ramli menimbulkan tanda tanya dalam kalangan Ahli Parlimen dan rakyat. – HARAKAHDAILY 29/10/2025











