RSN Perlis 2040: MB seru rakyat berikan pandangan

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menegaskan kepentingan penyertaan awam dalam proses pembangunan negeri, khususnya melalui Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 (Kajian Semula) yang sedang dibuka untuk maklum balas rakyat.

- Advertisement -

“Dah kita bentangkan kepada seluruh rakyat untuk komen apa semua, nampak komen tu tak berapa nak banyak. Masih kurang pandangan-pandangan dari rakyat,” katanya.

Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang menjelaskan bahawa pandangan rakyat amat penting bagi memperkukuh rancangan pembangunan negeri.

Beliau turut bersetuju dengan saranan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Perlis supaya rakyat memberi cadangan secara aktif agar dokumen perancangan ini benar-benar mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat.

“Insya-Allah selepas daripada ini semua kita ni kena bagi komen sikitlah supaya kita dapat tambah baik. Pandangan daripada PLANMalaysia, kita nak buat apa yang kita rancang sampai 2040.

“Tapi kalau pakat bagi komen, cadangan dan pandangan, dia akan bertambah baik lagi. Apa yang kita buat itu akan rasa kebersamaan,” jelas beliau di Dewan Warisan, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ‘Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis’ dan Majlis Penyampaian Elaun Bulanan Pengerusi serta Setiausaha Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK).

Beliau berkata, antara isu yang paling mendapat perhatian rakyat ialah cadangan pembinaan lapangan terbang di Perlis, yang menjadi sebahagian daripada visi pembangunan negeri menjelang tahun 2040.

“Yang banyak bagi komen tu bila saya sebut pasai airport (lapangan terbang), yang ni yang sensitif dan itu cita-cita kita sampai 2040. Insya-Allah, kalau kita bekerja betul-betul, kalau tak dapat buat yang besar pun kita akan buat yang mampu,” ujar beliau.

Menurut beliau, program tersebut diadakan bagi membuka ruang dialog secara langsung antara kerajaan negeri dengan kepimpinan komuniti, yang disifatkan sebagai mata dan telinga kerajaan negeri di setiap kampung.

“Program ini bukan sekadar perasmian, tetapi satu ruang untuk saya mendengar terus pandangan dan maklum balas daripada barisan kepimpinan, mata dan telinga kerajaan negeri di setiap kampung,” kata beliau.

Sebelum ini, pada awal September lalu, Mohd Shukri telah merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN Perlis 2040 (Kajian Semula) serta Pelancaran Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 di Dewan 2020, Kangar.

Draf RSN Perlis 2040 merupakan dokumen perancangan statutori yang akan menjadi panduan utama kepada pembangunan fizikal negeri dalam tempoh dua dekad akan datang.

Kajian semula ini dijalankan selama 12 bulan bermula pada 21 Mei 2024 hingga 25 Mei 2025, manakala tempoh publisiti draf telah dilanjutkan sehingga 18 Oktober 2025 bagi memberi lebih banyak ruang kepada rakyat untuk menyemak dan mengemukakan bantahan atau cadangan.

Kerajaan Negeri berharap agar rakyat memanfaatkan peluang ini untuk terlibat secara aktif dalam proses perancangan, agar setiap pembangunan yang dirancang benar-benar mencerminkan suara dan keperluan rakyat Perlis. – HARAKAHDAILY 22/10/2025

- Advertisement -