Wakil rakyat dan MPKK jadi mata dan telinga rakyat

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus menegaskan komitmennya untuk memastikan kebajikan rakyat berada pada keutamaan tertinggi dalam setiap dasar dan tindakan pentadbiran negeri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan nasib golongan susah, sakit, dan mereka yang memerlukan bantuan tidak terpinggir daripada perhatian pihak berwajib.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program ‘Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis’ yang menghimpunkan seramai 460 pimpinan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) dari seluruh negeri.

Menurut beliau, setiap wakil kerajaan di peringkat komuniti perlu berperanan sebagai ‘mata dan telinga rakyat’ bagi memastikan sebarang permasalahan di akar umbi sampai ke pengetahuan kerajaan negeri untuk diambil tindakan segera.

Menyentuh soal keprihatinan sosial, Mohd Shukri turut berkongsi kisah seorang pelajar cemerlang daripada keluarga susah yang hampir tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kekangan kewangan.

Namun, hasil keprihatinan masyarakat setempat dan sumbangan pihak tertentu, pelajar tersebut akhirnya berjaya meneruskan pengajian dalam bidang kedoktoran.

“Kita akan terus pantau supaya anak ini dapat belajar hingga berjaya dan dapat mengubah nasib keluarganya,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun kemampuan kewangan negeri adalah terhad, kerajaan tetap berusaha meringankan beban rakyat melalui pelbagai bentuk inisiatif kebajikan.

Antara tumpuan utama kerajaan negeri pada masa ini ialah pelaksanaan Skim Kafalah Perlis, yang memberikan bantuan RM500 kepada waris kehilangan ahli keluarga, selain program pembaikan rumah serta bantuan kepada golongan B40 di seluruh negeri.

“Kita bantu mereka yang benar-benar susah. Bukan semua dapat, sebab peruntukan negeri kita terbatas. Tapi kalau waris isi borang dan disokong oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat, insya-Allah kita bantu,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd Shukri mengingatkan bahawa wakil rakyat dan MPKK perlu sentiasa turun padang bagi memahami masalah rakyat, bukan sekadar menjalankan tugas rutin.

Beliau turut mengulangi jaminan bahawa kebajikan rakyat akan kekal sebagai keutamaan nombor satu kerajaan negeri, seiring dengan usaha menjana pembangunan ekonomi dan kesejahteraan negeri secara menyeluruh.

“Kita bantu setakat yang termampu.Insya-Allah, jika ada rezeki dan kemampuan pada masa akan datang, kita akan tambah lagi supaya kebajikan rakyat terus terjaga dan dapat ditanggung sebaiknya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2025

- Advertisement -