Abai politik punca umat Islam jadi hina – Presiden PAS

- Advertisement -

CAMERON HIGHLANDS: Umat Islam diingatkan supaya tidak leka dan lalai sehingga melupakan kewajipan berpolitik, yang ditegaskan sebagai satu tanggungjawab fardhu ain bagi memenangkan Islam dan melaksanakan hukum Allah.

- Advertisement -

​Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kejahilan dan sikap tidak peka umat Islam terhadap kepentingan kuasa politik inilah yang menjadi punca mereka menjadi hina dan lemah, sepertimana dijajah pada masa dahulu.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Umum Hogoh Jelai di Simpang Cameron Highlands, FELDA Sungai Koyan, di sini kelmarin.

​Menurutnya, Allah SWT menetapkan tiga kewajipan kepada manusia, iaitu memperhambakan diri kepada-Nya, menunaikan amanah dengan adil, dan menjadi khalifah untuk memerintah negara.

​“Allah Taala berfirman pada malaikat, wahai malaikat, Aku nak jadikan satu makhluk manusia supaya mereka menjadi khalifah, khalifah yang dapat memerintah negara. Kerana hukum Allah tak boleh dilaksanakan melainkan kena ada kuasa politik,” ujarnya.

​Beliau menjelaskan bahawa perjuangan politik bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah ditunjukkan oleh semua Nabi-nabi terdahulu yang bukan sahaja berdakwah, tetapi turut mengajak raja dan pembesar di zaman mereka untuk memerintah dengan Islam.

​“Nabi Nuh menghadapi golongan Al-Malak, Nabi Ibrahim berdepan dengan Namrud, Nabi Musa berdepan dengan Firaun. Nabi Sulaiman, Nabi Daud memerintah negara. Termasuk Nabi kita memerintah negara. Bukan iman, sayang sahaja. Menunaikan kewajipan memerintah negara, supaya Islam itu berdaulat,” jelasnya.

​Ahli Parlimen Marang itu turut menegur sikap sesetengah umat Islam hari ini yang menganggap politik tiada dalam Islam sehingga sanggup tidak keluar mengundi.

​“Tiba-tiba kita anggap politik ini… tak keluar mengundi. Tak keluar mengundi kerana politik tak ada dalam Islam. Menyebabkan orang lain mengundi, kawan lain mengundi. Mereka dapat kuasa politik, hilang kuasa politik kita. Ini sangat bahaya,” tegasnya.

​Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad SAW sendiri mendahulukan kemenangan politik melalui Perjanjian Hudaibiyah berbanding ibadat umrah, dan mendahulukan pembukaan Kota Makkah (Fathu Makkah) sebelum menunaikan haji, bagi menunjukkan keutamaan menguasai politik.

​Justeru, beliau menyeru agar umat Islam sedar bahawa kewajipan politik kini telah menjadi fardhu ain atas setiap individu yang layak mengundi bagi mengembalikan dan menguatkan kuasa politik Islam. – HARAKAHDAILY 21/10/2025

- Advertisement -