
KOTA BHARU: Sebahagian kawasan dalam Hutan Simpan Chabang Tongkat, Machang dekat sini terlibat dengan projek konservasi hutan yang diusahakan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).
Hasrat itu diterjemahkan menerusi satu memorandum perjanjian (MoA) antara MPOGCF dan kerajaan negeri bagi memperkukuhkan usaha pemuliharaan hutan dan mengekalkan kepelbagai flora dan fauna di Kelantan.
Perjanjian itu ditandatangani Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean al Haj Tengku Feissal yang mewakili Menteri Besar Kelantan.
Majlis itu disaksikan Exco Kerajaan Negeri, Zamakshari Muhammad; Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Mohd Rahim Ramli.
Menerusi perjanjian tersebut kedua-dua pihak bakal menjalinkan usahasama dalam melaksanakan projek tersebut yang terjejas akibat pembinaan laluan jalan raya, infrastruktur dan kerja perladangan.
Aktiviti tersebut dilihat dapat mengancam kelangsungan kehidupan spesis haiwan dan tumbuhan terancam seperti harimau Malaya, gajah, tapir dan juga beruang matahari termasuk rafflesia cantleyi ditemui di kawasan itu.
Bagi mencapai hasrat itu yayasan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi turut memperuntukkan dana sebanyak RM562,000 bagi menjaya projek konservasi hutan simpan itu membabitkan keluasan 10.5 hektar.
Dalam pada itu Tengku Mohamed Faziharudean dalam ucapannya berkata langkah tersebut memperkasakan lagi kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, projek yang menghubungkan semula hutan yang terpisah akibat arus pembangunan, membolehkan haiwan liar bergerak bebas selain mengurangkan risiko dan kadar kemalangan membabitkan hidupan liar.
“Penandatanganan MoA ini adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam memastikan kelangsungan biodiversiti demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2025




















