Doa Syeikh Wazir iringi pelajar pondok ke Tunisia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Doa Pengerusi Majlis Perundingan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki mengiringi pemergian 10 pelajar lepasan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) ke Tunisia semalam.

- Advertisement -

Mereka merupakan pelajar Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang berjaya melanjutkan pengajian dalam Pengajian Islam di Fakulti Hadharah Islamiyah, Universiti Ez-Zitouna.

Majlis diadakan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) itu disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Hadir sama Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman; Syeikh Pusat Pengajian Pondok, Ustaz Mohamad Aziz Che Man dan juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Ia merupakan pengambilan kedua setelah kerajaan negeri menerusi agensinya, YIK menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama institusi pengajian tinggi itu dibuat enam tahun lalu.

Menerusi perjanjian tersebut pihak pengurusan universiti itu bersetuju untuk mengenakan yuran yang sama seperti dikenakan kepada rakyat Tunisia iaitu antara RM300 hingga RM500 setahun.

Pada tahun 2024 kerajaan negeri telah menghantar lapan orang pelajar Pusat Pengajian Pondok YIK ke universiti itu bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pengajian Islam.

Menurut Wan Roslan, kerajaan negeri sebelum ini pernah menghantar dua pelajarnya ke negara di utara Benua Afrika itu sebelum berkhidmat sebagai salah seorang tenaga pengajar di sekolah YIK. – HARAKAHDAILY 25/9/2025

- Advertisement -