Mahasiswa anak Kedah pupuk patriotisme negeri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semangat kenegerian disifatkan sebagai nadi dan tali penghubung yang mengikat mahasiswa anak Kedah di perantauan, sekali gus menjadi pendorong untuk mereka kembali berbakti kepada negeri selepas tamat pengajian.

- Advertisement -

​Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, identiti sebagai anak Kedah merupakan satu kekuatan yang membentuk jati diri dan memberi makna kepada perjuangan menuntut ilmu, tidak kira di mana sahaja mereka berada.

​“Mengapakah penting untuk kekalkan semangat kenegerian? Ini kerana ia adalah nadi yang mengikat mahasiswa Kedah di mana sahaja mereka berada. Semangat kenegerian berperanan menjaga identiti dan akar budaya kita.

​“Mahasiswa Kedah yang menuntut ilmu, dalam atau luar negara, harus sentiasa ingat bahawa mereka ada negeri yang menanti khidmat dan bakti mereka,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Dana kepada Persatuan Mahasiswa Anak Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

​Jelasnya, dana yang disalurkan itu adalah simbol kepercayaan dan amanah daripada kerajaan kepada generasi pewaris negeri, bagi membolehkan mereka merancang program-program yang memperkukuh jati diri dan membina jaringan sesama rakan.

​Beliau turut menyeru para mahasiswa agar aktif berpersatuan kerana ia merupakan medan latihan terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan, membina ketahanan mental, serta mempelajari kemahiran insaniah yang tidak diajar secara formal.

​Sambil berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah memimpin tujuh persatuan, beliau berkata, penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum akan melahirkan graduan yang serba boleh dan berdaya saing.

​“Aktif dalam persatuan, pengajian kena cemerlang. Rakan-rakan yang cemerlang dalam persatuan biasanya akademik juga bagus. Persatuan inilah yang akan melatih kemahiran selain daripada yang ada di bilik kuliah. Ia banyak beri manfaat selepas kita keluar,” ujarnya.

​Beliau berharap, dengan semangat kenegerian yang utuh dan pengalaman yang ditimba, para mahasiswa akan menjadi aset penting yang akan memacu pembangunan negeri pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 25/9/2025

- Advertisement -