Hadis rampas tanah dibelit bumi, sahih atau tidak?

- Advertisement -

Soalan:

Berkenaan perbuatan merampas tanah orang secara paksa saya ada terbaca dalam beberapa artikel yang ditulis di media sosial kononnya ada hadis yang menyebut bahawasanya sekalian orang yang terlibat dalam perbuatan rampasan tanah itu adalah zalim dan akan dibelit dengan tujuh lapis bumi pada hari kiamat nanti. Adakah hadis tersebut sahih?

- Advertisement -

Jawapan:

Hadis yang menyebut perbuatan merampas tanah orang dan sekalian mereka yang terlibat melakukannya akan diazab pada hari kiamat sangat banyak dan hadis-hadis tersebut adalah sahih.

Berikut didatangkan sebahagian sahaja daripadanya.

Daripada Uqbah daripada Salim daripada bapanya r.a. beliau berkata:

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَخَذَ مِنْ الْأَرْضِ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ

Ertinya: “Telah bersabda oleh Nabi sollallahu alaihi wasallam: Barangsiapa mengambil sebahagian dari tanah orang yang bukan haknya maka dia akan dibenamkan pada hari kiamat sehingga tujuh lapis bumi.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Dan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَأْخُذُ أَحَدٌ شِبْرًا مِنْ الْأَرْضِ بِغَيْرِ حَقِّهِ إِلَّا طَوَّقَهُ اللَّهُ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Ertinya: “Telah bersabda oleh Rasulullah sollalahu alaihi wasallam: Tiada seorang pun yang telah mengambil sejengkal tanah orang tanpa haknya melainkan Allah akan membelitnya pada hari kiamat dengan tujuh lapis bumi.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar:

وَفِي الْحَدِيثِ تَحْرِيمُ الظُّلْمِ وَالْغَصْبِ وَتَغْلِيظُ عُقُوبَتِهِ وَإِمْكَانُ غَصْبِ الْأَرْضِ وَأَنَّهُ مِنَ الْكَبَائِرِ ق

Ertinya: “Hadis ini mengharamkan berbuat zalim dan mengharamkan merampas tanah dan memberatkan dosanya dan perbuatan merampas tanah orang ini termasuk dosa-dosa yang sangat besar.” (Kitab Fathu Al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 25/9/2025

- Advertisement -