
KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu mahu kerajaan negeri meneliti semula kadar pelarasan tarif air yang diumumkan baru-baru ini bagi mengelakkan bebanan berlebihan kepada rakyat, gesa Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman.
Beliau berkata, pihaknya memahami keperluan Syarikat Air Terengganu (SATU) menampung kos operasi dan penyelenggaraan, namun kenaikan mendadak akan memberi kesan besar khususnya kepada golongan berpendapatan rendah serta keluarga besar.
“Sehubungan itu, kami memohon kerajaan negeri meneliti semula kadar tarif air yang telah ditetapkan agar tidak membebankan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri menilai mekanisme subsidi bersasar kepada isi rumah B40, menyemak kadar blok tarif melebihi 20 meter padu agar lebih munasabah serta memperkukuh langkah pendidikan penggunaan air secara berhemah tanpa menambah beban rakyat.
“Dewan Muslimat PAS Terengganu percaya, dengan keprihatinan kepimpinan negeri, penyelesaian terbaik dapat dicapai untuk memastikan keperluan asas rakyat terus terjamin selari dengan dasar “Terengganu Maju, Berkat Sejahtera”,” katanya.
Terdahulu, SATU sebelum ini mendedahkan sepanjang 580 kilometer paip usang dikenal pasti sebagai kritikal dan perlu diganti segera bagi mengelakkan gangguan bekalan air di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, daripada keseluruhan 8,600 kilometer jajaran paip, kira-kira 1,300 kilometer adalah paip asbestos cement (AC) yang telah melepasi jangka hayat.
Menurutnya, kerja-kerja penggantian itu menelan kos besar sehingga RM500 juta dan memerlukan sokongan kerajaan negeri serta SATU, selain pelarasan tarif air yang telah diperkenalkan. – HARAKAHDAILY 25/9/2025











