Perlis tarik pelabur bangunkan produk pelancongan baru

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus memberi perhatian kepada sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negeri, dengan penekanan kepada penambahbaikan prasarana, promosi produk unik dan galakan kepada pelaburan baharu dalam bidang penginapan serta tarikan pelancong.

- Advertisement -

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, Exco Pelancongan negeri akan melihat semula prasarana di kawasan tumpuan pelancong, termasuk penyediaan ruang parkir serta kemudahan asas yang lebih baik.

Malah kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Kerajaan Negeri juga merancang untuk meneroka lokasi baharu berpotensi menjadi destinasi tarikan.

“InsyaAllah, Exco Pelancongan akan tengok lagi prasarana, kawasan-kawasan itu akan ditambah baik dengan tempat parking dan lain-lain.

“Kita akan tengok lagi, Insya-Allah akan ada tempat baharu yang akan diterokai,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Seri Putra, di sini semalam.

Mohd Shukri turut menekankan bahawa Perlis memiliki kekuatan tersendiri sebagai destinasi pelancongan di mana mempunyai lebih 160 kedai kopi terbaik yang menawarkan makanan sedap dengan harga berpatutan, selain suasana kampung, sawah padi dan bukit bukau indah.

“Saya ingat tak ada di negeri lain kawasan sawah padi dengan latar belakang bukit yang cantik, suasana yang cukup tenang dengan ‘awan karpet’ yang susah nak dapat di negeri lain,” jelas beliau.

Mengulas keperluan penginapan, Menteri Besar menjelaskan bahawa kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur untuk membangunkan lebih banyak hotel, terutamanya di kawasan Padang Besar dan Wang Kelian yang semakin pesat dengan kehadiran pelancong.

“Sekarang ini pun ada proposal yang dibawa, cuma kita masih dalam kajian,” tambahnya yang dalam pada itu turut menyentuh mengenai cadangan projek ‘Skybridge’ di Bukit Cabang.

Menurut beliau, pihak syarikat yang terlibat akan membentangkan cadangan kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bagi mendapatkan pandangan daripada jabatan serta agensi berkaitan.

Pengerusi Perikatan Nasional Perlis itu menjelaskan bahawa faktor teknikal menjadi perhatian utama kerana Bukit Cabang merupakan bukit batu kapur yang memerlukan penelitian khusus.

“Lebih kepada lif dan ada sambungan jambatan di atas bukit, Sky Bridge,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk memperkenalkan tarikan baharu bagi menjadikan Perlis lebih menarik kepada pelancong dalam dan luar negara.

Usaha ini, katanya, bukan sahaja memberi kesan positif kepada ekonomi setempat malah mampu menjana peluang pekerjaan serta memperkasa masyarakat setempat. – HARAKAHDAILY 25/9/2025

- Advertisement -