
KOTA BHARU: Kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat perlu bekerjasama mencari penyelesaian terbaik bagi membantu penduduk yang terjejas selepas operasi merobohkan lebih 200 pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia dengan Thailand.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan melahirkan kebimbangan terhadap nasib rakyat yang mungkin kehilangan mata pencarian selepas pangkalan tersebut dirobohkan.
“Premis perniagaan didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri, manakala isu keselamatan adalah tanggungjawab pihak berkuasa Persekutuan. Jadi kita cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk tangani isu selepas operasi perobohan itu.
“Sebagai contoh, jika ada penduduk yang ingin memulakan perniagaan selepas ini, kerajaan negeri ada menyediakan bantuan keusahawanan, begitu juga Kerajaan Persekutuan.
“Kita bukan hendak membela kegiatan yang menyalahi undang-undang, tetapi kita cukup faham keadaan rakyat. Itu kerja harian mereka untuk mencari nafkah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim.
Katanya, operasi berkenaan dijalankan di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan isu keselamatan, imigresen serta hubungan dua negara.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan tindakan penting bagi membendung aktiviti penyeludupan, khususnya penyeludupan dadah jenis pil kuda yang kerap menggunakan laluan tidak sah di sepanjang sempadan.
Beliau turut menjelaskan Polis Diraja Malaysia mengenal pasti pangkalan terbabit termasuk yang berada di atas tanah kerajaan dan tanah persendirian, serta mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang masalah undang-undang.
Namun katanya, tidak semua pangkalan terbabit digunakan untuk kegiatan jenayah kerana ada juga yang dimanfaatkan penduduk untuk menjala ikan, berniaga kecil atau menghubungkan keluarga dengan Pekan Golok, Thailand.
Beliau menambah, setakat ini kerajaan negeri belum merancang pembangunan di kawasan terbabit kerana keluasan tanah yang terhad. – HARAKAHDAILY 25/9/2025











