
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis yakin Perlis Inland Port (PIP) bakal menjadi pemangkin utama hubungan dagang Malaysia–China susulan kerjasama strategik dengan pihak berkuasa Yunnan, Kunming.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerjasama itu memberi kelebihan besar dari segi logistik apabila tempoh perjalanan kereta api dari Kunming ke Perlis dapat dipendekkan sebanyak 3 hari.
“Pada 22 September ini akan berlangsung upacara pelepasan kereta api pertama ke Kunming. Walaupun belum sampai sepenuhnya ke destinasi, namun ia menandakan bermulanya hubungan rasmi itu.
“Insya-Allah Menteri Pengangkutan turut hadir pada majlis tersebut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra, di sini kelmarin.
Menurutnya, PIP akan dirasmikan pada 10 Februari 2026 dan diyakini menjadi pelabuhan darat yang menghubungkan laluan dagang penting rantau Asia Tenggara dengan China.
“Lawatan ke Kunming baru-baru ini amat positif, pelabuhan darat yang kita lawati itu semuanya nampak nak bekerjasama dengan kita sebab perjalanan, pergerakan keretapi daripada Kunming ke Perlis menjimatkan, pendekkan masa,” katanya.
Dalam sidang media sama, Mohd Shukri turut mengulas lawatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ke Perlis yang memberi tumpuan kepada usaha menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri ini.
“Kerajaan negeri berterima kasih kepada Pengerusi SPAN yang turun padang membincangkan langkah mempercepatkan pengurangan NRW di Perlis. Ini penting kerana kadar NRW kita masih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis turut mengesahkan menerima pencalonan bagi bertanding Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
“Saya masuk bertanding kerana menghormati kawasan-kawasan yang mencalonkan saya sehingga cukup bilangan 20 yang melayakkan saya.
“Cuma harapan saya kalau boleh tak menanglah, jadi Jawatankuasa Pusat ni adalah satu perkara yang beratlah, amanah yang cukup berat, yang terpaksa saya kena tanggung jika menang,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 5/9/2025




















