Perlis lancar RSN 2040 dan Pelan Bandar Pintar 2030

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis telah melancarkan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 (Kajian Semula) serta Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030.

- Advertisement -

Ia sebagai usaha memperkukuh hala tuju pembangunan negeri ke arah lebih progresif, mampan dan berdaya saing menerusi penyertaan rakyat dalam proses perancangan pembangunan jangka panjang.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyempurnakan majlis perasmian yang berlangsung di Dewan 2020, Persiaran Wawasan, Kangar, di sini semalam.

“Ayat Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 mengingatkan kita bahawa sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka sendiri berusaha mengubah nasibnya. RSN 2040 dan Pelan Bandar Pintar 2030 ini adalah wadah besar untuk kita sama-sama membawa perubahan kepada negeri dan rakyat Perlis,” katanya.

Program publisiti RSN Perlis 2040 yang bermula 1 hingga 30 September ini membolehkan rakyat memberi pandangan mengenai draf perancangan struktur yang bakal menjadi dokumen utama pembangunan negeri.

“Ia merupakan satu kerjasama yang erat yakni kita bersama-sama bersatu hati, mengambil bahagian dan memberi sokongan penuh terutamanya dalam penghasilan dokumen Draf RSN Perlis 2040 (Kajian Semula) dan Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030.

“Ibarat kata-kata daripada Steve Jobs: ‘Great things in business are never done by one people, they’re done by a team of people’,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Menurut Mohd Shukri, RSN 2040 menetapkan matlamat “Perlisku Bestari: Negeri Progresif, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi” menjelang 2040.

Dengan keluasan 86,294 hektar dan penduduk seramai 296,800 orang pada 2024, jumlah penduduk Perlis dijangka meningkat kepada lebih 391,000 orang menjelang 2040.

Justeru, perancangan strategik diperlukan bagi memastikan keperluan pembangunan, infrastruktur dan peluang ekonomi dapat menampung pertumbuhan itu.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut melancarkan Pelan Bandar Pintar Perlis 2030 atau ‘Perlis Pintar 2030’ sebagai komitmen memperluas agenda pendigitalan.

Pelan itu berteraskan tujuh komponen utama iaitu Smart Governance, Smart Economy, Smart Environment, Smart Living, Smart Mobility, Smart People dan Smart Digital Infrastructure yang akan menjadi panduan ke arah menjadikan Perlis sebagai negeri pintar, inklusif dan makmur.

Mohd Shukri berkata, inisiatif ini turut melibatkan penubuhan Command Center Negeri Perlis yang kini dirancang bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Beliau menambah, MPK sebelum ini telah memperoleh pengiktirafan Tahap 1: Smart City Early Adopter pada 2024 dan berpotensi mencapai Tahap 2: Developing Smart City lebih awal daripada sasaran 2030.

Sebelum ini, pada 18 Julai lalu, delegasi Kerajaan Negeri mengadakan lawatan ke Putrajaya Urban Observatory (PUO) bagi menimba pengalaman pelaksanaan inisiatif bandar pintar.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai pameran digital oleh agensi kerajaan serta swasta seperti PLANMalaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Juga Telekom Malaysia (TM), MIMOS Berhad, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan syarikat telekomunikasi.

Turut menarik perhatian ialah pertandingan Madani e-Sport Tournament 2025 yang disertai ramai anak muda, sejajar dengan perkembangan sukan elektronik yang semakin mendapat tempat.

Mohd Shukri dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada PLANMalaysia Perlis, MPK, SPNB serta pelbagai agensi negeri dan persekutuan yang terlibat menjayakan program ini.

“Kerjasama erat ini membuktikan kita mampu melahirkan dokumen perancangan dan pelan pembangunan yang menyeluruh demi kemakmuran rakyat. Inilah asas ke arah menjadikan Perlis negeri pintar yang progresif dan mampan,” katanya.

Beliau berharap RSN 2040 dan Perlis Pintar 2030 akan menjadi batu loncatan kepada pembangunan lebih sistematik, selaras dengan potensi sebenar negeri serta aspirasi Malaysia menuju era negeri pintar. – HARAKAHDAILY 5/9/2025

- Advertisement -