
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperkenalkan pindaan Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Secara Penswastaan negeri sebagai langkah realistik menangani kenaikan kos bahan binaan dan cabaran pasaran semasa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penambahbaikan dasar itu membolehkan kerajaan negeri bertindak lebih cepat menyelesaikan masalah tanpa perlu menunggu dasar sedia ada tamat tempoh.
“Pindaan ini dilihat penting selepas kita menilai cabaran kos semasa, keberkesanan dasar sedia ada dan situasi global yang memberi kesan kepada sektor pembinaan.
“Kerajaan negeri mengambil pendekatan realistik terhadap kenaikan kos bahan binaan dan keperluan pasaran semasa, namun pada masa sama pihak berkuasa di peringkat Persekutuan juga perlu mempunyai strategi jangka pendek dan panjang untuk mengatasi punca utama masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik Secara Penswastaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.
Menurutnya, pelaksanaan dasar baharu itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos pembangunan, malah akan menstabilkan harga jualan sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.
“Secara keseluruhannya, pindaan ini dirangka untuk mewujudkan penyesaian menang-menang bagi semua ‘stakeholders’.
”Dasar ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk mengembangi kepentingan rakyat, pemaju dan institusi kewangan, di samping mengekalkan kelestarian pasaran perumahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2025




















