
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan ketidakhadiran beliau dan barisan Exco kerajaan negeri pada program RXZ Member 7.0 sebelum ini dibuat atas sebab tertentu bagi mengelakkan salah faham.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, keputusan itu dibuat secara telus dan dimaklumkan kepada media bagi memastikan orang ramai memahami sebab sebenar.
“Jika dibaca dengan teliti apa yang saya tulis dalam media sebelum ini, saya menjelaskan sebab kenapa saya tidak hadir. Saya juga perlu mengambil kira risiko, ada kemungkinan orang beranggapan eh.. kenapa tidak hadir tanpa ada sebarang makluman.
“Saya tidak mahu dipersalahkan, saya tidak hadir tu bersebab. Jadi saya bagitahu sajalah itu keadaannya,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Secara Penswastaan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ditanya mengenai hasrat penganjur RXZ Member untuk bertemu beliau, Samsuri berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dan bersedia berjumpa dengan mana-mana pihak.
“Insya-Allah, kita akan berjumpa. Surat rasmi daripada pihak penganjur telah diterima dan perkara itu sedang diuruskan,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden PAS.
Sementara itu, menjawab dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak menyalurkan peruntukan kepada program tersebut, beliau berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan setiap tahun bagi menyokong program yang memberi ruang kepada anak-anak muda mengekspresikan hobi mereka.
“Sejak saya menjadi Menteri Besar, setiap tahun memang kita ada menyalurkan peruntukan, cuma jumlahnya berbeza mengikut keadaan dan keperluan. Jadi, saya tidak mahu menyebut secara terperinci di sini, bimbang pula ada yang menafsirkan seolah-olah kita ‘buruk siku’.
“Bagi saya, ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab serta rasa kebersamaan kerajaan negeri bersama anak-anak muda yang mempunyai pelbagai hobi.
“Tentulah dengan kepelbagaian hobi yang wujud ini, kerajaan negeri turut berkongsi rasa gembira dan menghargai minat anak-anak muda tersebut,” katanya.
Tambahnya, sekiranya penganjuran RXZ Member diteruskan di Terengganu pada masa akan datang, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberikan sokongan.
Terdahulu, Samsuri mengisytiharkan ketidakhadiran beliau dan Exco adalah akibat gangguan politik yang disifatkan sebagai ‘komang spanar’, merujuk kepada perbuatan tidak profesional dan kebudak-budakan. – HARAKAHDAILY 28/8/2025











