
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperkenalkan dasar baharu Rumah Mampu Milik (RMM) Secara Penswastaan yang lebih fleksibel dengan pelbagai penambahbaikan bagi menggalakkan penyertaan pemaju serta memberi pilihan lebih luas kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara pembaharuan ketara ialah pengurangan kadar pembinaan RMM jenis B di atas tanah kerajaan daripada 30 peratus kepada 20 peratus.
“Langkah ini diambil selepas kajian mendapati kos binaan yang semakin meningkat menjadi faktor utama pemaju kurang berminat menyertai projek secara penswastaan.
“Dengan pengurangan ini, pemaju lebih berpeluang mendapat keuntungan yang selesa, sekali gus memastikan lebih banyak projek dapat dijalankan untuk manfaat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik Secara Penswastaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain itu kata beliau, harga rumah juga ditetapkan lebih fleksibel dengan penawaran baharu untuk RMM jenis B berbentuk Rumah Bandar iaitu RM150,000 bagi unit atas dan RM185,000 bagi unit bawah, manakala RMM jenis A meningkat daripada RM80,000 kepada RM90,000.
Beliau berkata, dalam aspek kelulusan, projek RMM kini dikategorikan sebagai ‘green lane’ yang diberi keutamaan di Pusat Setempat (OSC).
Manakala, katanya, penyediaan sistem pengumpulan air hujan (SPAH) dikecualikan untuk semua jenis RMM A dan B.
“Ini memberi peluang kepada pemaju untuk memasarkan projek lebih awal dan menarik minat pembeli, sekali gus menambah kelancaran aliran kewangan syarikat,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga memutuskan supaya tiada lagi lot sudut (corner lot) bagi RMM, membolehkan tanah digunakan secara maksimum, menambah bilangan unit serta menghapuskan perbezaan harga rumah mengikut kedudukan.
“Tanah di sudut itu boleh dimanfaatkan untuk kemudahan riadah komuniti, memberi nilai tambah kepada penduduk,” ujarnya.
Dalam aspek perbezaan pula, beliau berkata, projek RMM kini dikategorikan sebagai ‘green lane’ yang diberi keutamaan di Pusat Setempat (OSC), manakala penyediaan sistem pengumpulan air hujan (SPAH) dikecualikan untuk semua jenis RMM.
“Kalau dahulunya dikecualikan penyediaan kemudahan sistem pengumpulan air hujan bagi RMM jenis A sahaja tapi sekarang kesemuanya dikecualikan daripada pihak pemaju,” katanya.
Menurut Wan Sukairi, dasar baharu ini turut meluaskan syarat kelayakan pemohon termasuk meningkatkan had pendapatan isi rumah bagi projek swasta dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000, membolehkan lebih ramai keluarga berkelayakan memohon.
“Golongan belia berkeluarga yang berumur antara 21 hingga 35 tahun kini juga diberikan keutamaan untuk memohon, selain ibu atau bapa tunggal serta duda dan janda yang mempunyai tanggungan,” katanya.
Beliau berkata, syarat untuk penjawat awam turut dilonggarkan apabila kelayakan diperluas kepada pemohon dan pasangan berstatus tetap sehingga gred 40 bagi projek swasta, berbanding hanya gred 22 ke bawah sebelum ini.
Manakala untuk perumahan awam, beliau berkata, pemohon penjawat awam berstatus gred 2 ke bawah sahaja yang layak memohon.
“Ertinya lebih ramai lagi anggota penjawat awam yang boleh memohon untuk mendapatkan rumah mempunyai jenis A ataupun B ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/205











